Kebahagiaan adalah impian setiap makhluk. Tiada seorang pun manusia yang sejahtera naluri dan normal pemikiran menolak kebahagiaan. Apa sahaja yang dilakukan adalah untuk mengecapi kebahagiaan hidup. Demi sebuah kebahagiaan manusia sanggup berkorban dan mengorbankan apa sahaja termasuklah maruah diri sendiri.
Nilai kebendaan yang menguasai kehidupan manusia di zaman mutakhir ini menyebabkan mereka menilai kebahagiaan pada harta, pangkat dan kekuasaan. Lantas berlumba-lumbalah mereka menghimpunkan kekayaan, mengejar pangkat kedudukan dan mencari pengaruh bagi mengukuhkan kedudukan dan mengekalkan kekuasaan. Golongan berharta menindas golongan miskin, yang berpangkat menekan golongan bawahan dan yang kuat menzalimi yang lemah. Tiada tujuan lain kecuali demi mengejar sebuah impian yang tidak kesampaian. Kehidupan manusia terus dibelengu kesengsaraan yang berterusan tanpa nokhtah dan perhentian. Kebahagiaan yang diburu tidak ditemui. Hikmah kepelbagaian rupa bentuk, warna kulit dan kedudukan dalam penciptaan supaya manusia saling kenal-mengenal antara satu sama lain demi kemakmuran hidup tidak tercapai. Inilah realiti yang sedang berlaku dalam dunia moden hari ini.
Ke mana sudah menghilangnya kebahagiaan? Dirampas sudahkah ianya dari genggaman manusia atau lenyap ditelan zaman ? Jawapannya tidak dan tiada siapa merampasnya kerana ianya bukan milik manusia. Kebahagiaan adalah kepunyaan mutlak Allah swt yang menganugerahinya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Tidakkah Allah swt telah berfirman dalam surah yaasin ayat 83 mafhumnya : " Maha suci Allah yang di tanganNya milik tiap-tiap sesuatu dan kepadanya kamu semua di kembalikan" Kebahagiaan berpunca dari hati yang tenang dalam menghadapi apa jua rintangan dan ujian hidup. Ketenangan hati adalah natijah langsung dari ingatan dan tawakal yang berterusan kepada Allahswt berdasarkan mafhum firman Allah ayat 28 surah ar-Ra’d : “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
Iman yang benar dan amal yang soleh adalah penawar kepada kegelisahan hidup. Kegagalan golongan yang berkuasa dan berharta sepanjang zaman mengecapi kebahagian sejati menguatkan bukti terhadap kebenaran fakta ini. Keterlibatan dengan gejala ketagihan arak, keruntuhan rumah tangga, penyalahgunaan dadah, jenayah rasuah, sakit jiwa dan lain-lain lagi adalah berpunca dari hilangnya kebahagiaan hidup. Laporan kegelisahan hidup dan pelbagai masalah kronik yang menimpa mereka yang ternama seperti paparan media elektronik dan media cetak mendedahkan kepalsuan kebahagian yang dikecapi mereka. Adakah kehidupan yang dikelilingi pengawal peribadi sepanjang masa dan pergerakan yang terbatas tanda adanya kebahagian? Lihatlah bagaimana tenangnya khalifah Ar-Rashiddin yang kedua Omar Bin al-Khattab tidur nyeyak dibawah teduhan bayangan pokok tanpa seorang pengawal peribadi. Benarlah firman Allah swt dalam surah an-Nahl ayat 97 mafhumnya : sesiapa yang melakukan amal yang soleh dari kalangan lelaki dan perempuan dalam keadaan beriman akan kami kurniakan kepadanya kehidupan yang baik ...
Bersihkanlah hati dari pelbagai sifat mazmumah kerana ianya merupakan ganguan keceriaan hidup. Akibat hasad dengki dan dendam kesumat yang membara dalam diri, manusia bertindak membelakangi kewarasan akal fikiran dan naluri keinsanannya. Pembunuhan pertama dalam sejarah manusia seperti yang diabadikan oleh al-Quran adalah berpunca dari perasaan hasad. Ianya menjadi racun bisa yang mematikan nilai fitrah dalam diri manusia. Kesanggupan Qabil membunuh Habil adalah bukti jelas parahnya akibat hasad dengki dan perasaan dendam yang tidak dirawat kepada kehidupan manusia.
Penyelesaian kepada segala permasalahan adalah dengan kembali kepada petunjuk wahyu. Hampirilah diri kapada Yang Maha Kuasa, laksankanlah ubudiyyah sebaik mungkin dan mohonlah daripadaNya rahmat kebahagiaan. Dengan suluhanNya kebahagiaan akan kita temui dan kegelisahan mampu kita hilangkan.
No comments:
Post a Comment