Kehidupan manusia pada hakikatnya sentiasa berada di antara dua tarikan. Pertama tarikan keimanan yang melahirkan kesedaran dan perasaan tanggungjawab. Dengan demikian dia akan berada dalam keadaan benar dan selamat. Daya tarikan kedua ialah tarikan Syaitan dengan segala perhiasan dunia dan bisikan yang memperdayakan. Terpengaruh dengannya bererti kesesatan dan kebinasaan. Tiada keselamatan melainkan dengan pertolongan daripada Allah.
Kita hanya memiliki satu kebenaran sahaja iaitu wahyu (al-Quran dan as-Sunnah). Lain daripadanya adalah hawa nafsu yang sesat lagi menyesatkan. Oleh itu menjadi kemestian kepada setiap muslim memuhasabahkan pegangan dan amalan hidup agar seiring dengan kebenaran yang satu ini. Keperluan kepada muhasabah dan renungan terhadap perjalanan hidup seharian bukanlah perkara baru. Ianya telah diterjemahkan oleh Mua’z bin Jabal melalui ungkapannya kepada salah seorang temannya : “ Duduklah bersama-sama kita beriman sebentar ”. Tujuannya sangat jelas iaitu bagi memastikan perjalanan hidup sentiasa bertepatan dengan suluhan petunjuk dan tidak terkeluar daripada batasan syariat Islam.
Tabiat jalan kebenaran penuh dengan cubaan, dugaan dan rintangan. Kerana itulah kita mudah dipengaruhi perasaan lemah dan hilang semangat untuk meneruskan perjalanan pada jalan ini. Lantaran itu ramai yang gugur sebelum sampai ke destinasi yang dituju. Maruah umat Islam akan tetap terpelihara selama mana mereka berada di atas manhaj kenabian ini. Mereka mampu menghadapi gelombang penentangan pihak lawan dengan tenang. Sejarah telah merakamkan bagaimana kekalahan menjadi habuan mereka apabila meninggalkan pegangan yang benar ini. Mereka hilang kekuatan, lesu dan tidak berdaya untuk berdepan dengan serangan yang datang dari dalam dan luar.
Berbanding tarikan keimanan, tarikan hawa nafsu penuh dengan keseronokan dan kesenangan. Golongan yang tidak tidak sabar dan cepat mengalah biasanya terpedaya dengan tawaran keseronokan yang membawa ke lembah kebinasaan. Petanda terpengaruh dengan tarikan ialah meminggirkan al-Quran dan as-Sunnah dari kehidupan. Kalau tidak secara keseluruhan pun, menyempitkan peranan kedua-duanya daripada menjadi pemandu hidup sudah memadai.
Jalan keluar daripada masalah ini hanyalah terletak kepada sejauh mana tigginya nilai keimanan dan pegangan kita kepada kebenaran . Hanya iman yang tinggi dan kefahaman tentang agama yang mendalam sahajalah menjadi penghalang diri kita dari terpengaruh dengan godaan hawa nafsu yang melalaikan.
No comments:
Post a Comment