Wednesday 14 May 2014

Jom Katakan Tidak Kepada Hawa Nafsu



Kita biasanya akan berkata tidak kepada perkara yang kita tidak senangi. Kebencian terhadap perkara tersebut semakin bertambah apabila ia mengganggu kebahagian dan ketenangan hidup kita. Ramai yang boleh kata tidak kepada rokok, GST, kenaikan harga barang, penipuan pilihan raya  dan lain-lain lagi kerana yakin perkara tersebut mengganggu kesejahteraan hidup. Kita sanggup memenuhi jemputan untuk sama-sama turun kedataran dan jalan raya demi menyatakan sokongan kepada gerakan tidak kepada perkara di atas. Kehadiran kita tidak dipaksa dan dibayar oleh sesiapa pun. Ia lahir dari lubuk hati dan keinginan kita sendiri.
Satu persoalan yang perlu kita renung bersama ialah : Apakah kita juga telah berkata tidak kepada hawa nafsu dan godaan syaitan? Bahaya kedua-duanya telah diperingatkan oleh Pencipta kita yang maha kuasa melalui beberapa firmaNya.  Di antaranya ialah :  

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ ﴿فاطر: ٦﴾

Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. (35: 6)

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ ﴿ص: ٢٦﴾

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. (38: 26)

Marilah kita nilai tahap protes kita kepada godaan syaitan dan hawa nafsu. Pada skala berapakah kedudukan protes dan penentangan kita. Apakah kita telah mula protes pagi kita dengan menyahut seruan yang berkumandang melalui corong-corong pembesar suara masjid dan surau. Apakah kita hanya memekakkan telinga kita dan membiarkan seruan tersebut berlalu dibawa bayu pagi tanpa sahutan yang sepatutnya. Lalu kita mencipta pelbagai alasan untuk menenangkan jiwa dan sanubari kita. Kita sebenarnya telah terpedaya dengan pujukan nafsu kerana telah membelakangi sunah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah saw. 

Panjatkanlah kesyukuran kepada Yang Maha Kuasa sekiranya tindakan kita tidak sedemikian rupa. Kita adalah insan yang sangat naif. Tidak punyai kudrat dan kekuatan untuk melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan melainkan dengan bantuan daripadaNya. Bersyukurlah sekiranya kita telah mulakan pagi dengan mengatur langkah demi langkah untuk sampai ke rumah-rumahNya. Kita tunaikan solat fardu subuh secara berjemaah di tempat yang paling mulia dan pada masa yang paling afdal.  

Kita perlukan sedikit pengorbanan untuk merealisasikan penentang kepada godaan syaitan dan hawa nafsu. Kita korbankan keinginan nafsu dan kita beramal dengan sunah baginda saw. Letakkan lah petunjuk yang telah kita warisi daripada baginda saw sebagai panduan. Amatilah setiap panduan tersebut dan jadikan ia sebagai pedoman yang memandu perjalanan dan gerak kerja kita. Ingatlah kita telah dijanjikan kejayaan dengan mentaati baginda saw sebagaimana sabdanya : 

عن أبي هريرة ـ رضي الله عنه ـ أن رسول الله ـ صلى الله عليه وسلم ـ قال: ( كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبَىَ، قيل: ومن يأبى؟ قال: من أطاعني دخل الجنة، ومن عصاني فقد أبَىَ ) رواه البخاري

Dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sekalian umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan.” Sahabat-sahabat Baginda bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang taat kepada ku akan masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah enggan.” (Riwayat Bukhari)

Thursday 2 August 2012

Ramadhan : Kesempatan Kembali Kepada Persaingan Sebenar

Assalamualaikum dan salam Ramadhan diucapkan kepada pelayar yang sudi menjenguk blog coretan seorang pendidik. Sudah setahun blog ini tidak dikemaskini dengan sebarang coretan baru. Alhamdulillah, pagi ini 13 Ramadhan 1433H saya dianugerahi sedikit kekuatan oleh Yang Maha Kuasa untuk mencoret sepatah dua kata untuk renungan kita bersama. Alangkah cepatnya masa berlalu meninggalkan kita semua. Ramadhan yang kita sambut permulaannya pada hari sabtu yang lepas sudah menghampiri pertengahannya. Bagaimana pengisian yang telah kita lakukan selama tempoh selama 12 hari yang telah dilalui. Apakah muhasabah yang dilakukan sebelum Ramadhan kunjung tiba mampu merubah sikap dan tindakan kita?  Apakah sepanjang tempoh tersebut telah berlaku peningkatan tahap penghayatan kita terhadap Ramadhan? Ataupun masih sama seperti tahun-tahun yang telah berlalu atau semakin berkurangan? Kesemua persoalan tersebut kita lah yang dapat memberi jawapan yang tepat. Orang lain hanya dapat membuat andaian sahaja berdasarkan pengamatan yang dilakukannya.

Kemeriahan masyarakat Islam menyambut awal Ramadhan begitu terserlah sekali. Sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardu maghrib, kita dapati masyarakat setempat mula mengatur langkah mereka menuju ke rumah-rumah Allah swt.. Setiap ruang kosong mula dipenuhi para jemaah sebelum laungan azan solat fardu ‘Isyak berkumandang melalui corong-corong pembesar suara di menara-menara masjid. Kebanjiran para jemaah untuk menunaikan solat ‘Isyak dan solat sunat tarawih sehingga melimpah keluar dewan solat sungguh mengkagunkan. Sungguh indah suasana yang kita saksikan pada permulaan setiap kali Ramadhan tiba. Kini Ramadhan memasuki harinya yang ke 13. Apakah suasana kemeriahan yang kita saksikan pada permulaan Ramadhan masih lagi berterusan?

Berdasarkan pengamatan insan kerdil seperti saya, semangat yang ditunjukkan oleh umat Islam ketika menyambut ketibaan bulan yang penuh dengan kemuliaan ini sudah semakin luntur. Bilangan jamaah yang hadir semakin susut walaupun masih belum kembali kepada keadaan asal sebelum Ramadhan. Apakah kepenatan sudah kita rasai dan mula mengalah kepada runtunan hawa nafsu yang mahukan  rehat yang mencukupi setelah perut dipenuhi dengan pelbagai jenis juadah yang disajikan semasa berbuka? Berdasarkan pengalaman saya, untuk menghilangkan dahaga disebabakan tidak minum sepanjang hari kita hanya perlu kepada satu ataupun dua gelas air sahaja. Begitu juga dengan rasa lapar dapat dihilangkan dengan tiga ke empat suapan makanan sahaja. Apabila kita mengambil lebih dari keperluan yang septutnya, kita mula rasa penat dan tidak terdaya untuk melakukan kewajipan yang lain.

Dengan pelbagai kebaikan dan rahmat yang Allah sediakan untuk kita sepanjang Ramadhan, ia merupakan kesempatan yang terbaik untuk kita kembali kepada persaingan yang sebenar iaitu untuk mendapat keampunan dan keredaan dari Yang Maha Kuasa. Sebagai seorang muslim kita telah dimotivasikan oleh banyak sabdaan Rasulullah saw agar merebut pelung keemasaan ini. Kita sering diperingakan oleh para ustaz dan penceramah dengan sabdaan baginda saw tentang kelebihan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Di antaranya sabdaan Baginda saw yang lebih kurang mafhumnya : Bila tibanya bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan. Riwayat Bukhari (1899) dan Muslim (1079).

Dalam keadaan  peluang untuk kembali menjadi hamba yang patuh kepada pencipta yang maha agung terbuka luas dan ruang untuk melakukan penderhakaan tertutup rapat, inilah peluang terbaik untuk kita berubah kembali kepada fitrah asal mengakui kutuhanan Allah dan kemutlakan patuh kepada apa sahaja perintah yang datang dariNya. Masih adakah kesempatan lain yang lebih baik untuk kita lakukan perubahan dalam diri melebihi kesempatan Ramadhan? Sesungguhnya pertarungan untuk berubah sekarang berlaku diantara nafsu dan keimanan sahaja. Kalaulah dalam keadaan nafsu tanpa bantuan syaitan  dan ditekan pula dengan berlapar dan dahaga disiang hari, kita masih tidak mampu untuk berubah bilakah lagi agaknya masa yang paling sesuai.

Wednesday 17 August 2011

PSKD: SEKADAR PERINGATAN ..... TIDAK HALAL??????

PSKD: SEKADAR PERINGATAN ..... TIDAK HALAL??????: "Salam, Admin sertakan nama-nama syarikat pengeluar yang 'tidak lepas' sijil HALAL dari JAKIM. Moga kita berhati-hati................. (sum..."

Sunday 3 July 2011

Al-Azkar : Peringatan Bagi Yang Alpa Dan Kesempurnaan Bagi Yang Komited

Sementara menunggu isteri menyiapkan sarapan pagi, saya menggunakan kesempatan pagi ini untuk membaca beberapa helaian kitab Al-Azkar karangan Imam Nawawi ra. Ia merupakan salah satu karya beliau yang membicarakan tentang zikir serta amalan dalam kehidupan seharian kita. Kitab ini sungguh bermakna untuk umat Islam terutamanya kita yang hidup pada zaman kebendaan menguasai kehidupan. Susunan hadis-hadis sahih berkaitan amalan serta zikir memberi sinaran dan pedoman yang menyuluh kehidupan kita sebagai hamba Allah.

Wirid dan zikir harian adalah amalan yang menjernih dan mententeramkan hati. Ini kerana hati seorang mukmin dalam perjalanannya menuju keredaan Allah swt terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Keupayaannya untuk kekal dalam keadaan yang mendapat keredaan Allah bergantung pada kekuatan hati untuk bertindak menentang tuntutan jasad dan nafsu yang diharamkan ke atasnya. Terpengaruhnya hati dengan desakan ini menyebabkan kita terjatuh ke dalam perangkap Iblis yang bahayanya sentiasa diperingatkan oleh Allah swt. Akibatnya terbentuklah satu titik hitam pada hati yang mengeruhkan kejernihannya. Apabila kejernihan hati menjadi semakin pudar, padah yang terpaksa ditanggung oleh kita ialah terhijabnya roh dari mengenal Allah swt dalam erti kata yang sebenar.

Kehidupan dalam persekitaran yang bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan seperti yang sedang kita alami hari ini sangat memerlukan kepada amalan dan zikir yang menjernihkan kembali hati dan sanubari. Kealpaan menguruskan hati agar sentiasa punyai hubungan dengan Pencipta Yang Maha Kuasa melalui wirid dan zikir harian ini mewujudkan hijab ke atas diri. Lantaran itulah kita dapati di antara tujuan pengajaran yang terkandung didalam ajaran Islam adalah untuk melaksanakan pembersihan secara berterusan ke atas hati, roh dan juga jasad manusia. Kenyataan ini dapat kita sarikan melalui firman Allah dalam surah al-Jumuah ayat 2 mafhumnya : Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

Seorang hamba yang ingin sampai ke tahap kesempurnaan dalam ubudiyah dan perhambaan kepada Penciptanya mestilah melaksanakan pembersihan secara berterusan terhadap hatinya menerusi amalan dan zikir yang telah menjadi amalan Rasulullah saw. Tindakan sedemikian akan menjadikan hatinya sentiasa disinari cahaya makrifat yang akan menerangi setiap langkah yang diaturnya. Kealpaan kita dalam melaksanakan rawatan hati secara berterusan agar terus bersinar dan bercahaya bermakna sengaja mendedahkan diri kepada bahaya.

Seseorang yang mempunyai wirid harian seperti yang telah diamalkan oleh Rasulullah saw akan mudah sedar apabila melakukan kesalahan dan segera bertaubat apabila tergelincir. Kepelbagaiannya pula seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih himpunan Imam Nawawi dapat menghilangkan kejemuan yang mudah timbul dalam diri manusia. Sesungguhnya penelitian dan pembacaan kitab “ Al-Azkar ” secara berterusan merupakan bekalan yang membantu kita untuk mencapai tujuan tersebut. Kajian dan usaha yang disumbangkan oleh Imam Nawawi ini amat bermakna untuk kita semua amati dalam mencari kesempurnaan ketika melaksanakan ibadah seharian.

Friday 24 June 2011

Jom Kenali Dan Fahami Islam

Di antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh Islam di abad ini ialah kejahilan majoriti penganutnya terhadap ajaran yang mereka anuti. Hasilnya lahirlah pelbagai fahaman dan tanggapan yang terpesong dari fahaman sebenar yang Allah ajarkan kepada utusan terakhirnya Muhammad saw. Mereka tidak mampu memberi jawapan yang tepat terhadap agama suci yang menjadi anutan mereka. Lantaran itulah paparan kehidupan yang dipertontonkan kepada masyarakat luar tidak memperlihatkan perbezaan yang nyata di antara seorang penganut Islam dengan bukan Islam. Aneh bukan, kerana perbezaan Islam dengan ajaran selainnya adalah jelas. Perbezaan di antara kedua-duanya umpama siang dan malam. Islam datangnya daripada Allah sedangkan ajaran-ajaran lain dari hawa nafsu manusia yang sesat lagi menyesatkan. Namun dek kerana kejahilan terhadap ajaran suci ini, menjadikan majoriti umat Islam dewasa kini tidak mampu membezakan di antara Islam dengan jahiliah.

Kejahilan inilah yang telah menyebabkan simpulan Islam yang telah diikat kemas oleh Rasulullah saw dan diteruskan oleh generasi awal Islam serta mereka yang mewarisi perjuangan ini, mula terungkai satu persatu. Mungkin kita tidak boleh menerima hakikat bahawa, manusia yang mengaku beragama Islam sanggup menghina dan mempersendakan agama mereka sendiri. Kesanggupan akhbar utama arus perdana menyiarkan kartun yang menghina sebahagian dari ajaran Islam adalah bukti jelas ceteknya pemahaman mereka yang bertanggungjawab kepada Islam. Ini bukan pertama kali bahkan telah berkali-kali kartun yang menghina Islam disiarkan di muka depan akhbar tersebut. Tentu kita masih ingat pernah tersiar di muka depan akhbar berkenaan juga kartun yang menghina hukum hudud. Digambarkan satu kumpulan manusia yang tiba di Kuala Lumpur dari salah sebuah negeri di Pantai Timur dalam keadaan kudung tangan dan kaki. Lantaran kejahilan yang telah menguasai diri disangkanya perbuatan tersebut mampu menempelak musuh politik mereka sedangkan pada hakikatnya mereka telah menghina agama dan anutan mereka sendiri. Mereka lupa bahawa Islam adalah milik kita semua bukan milik parti politik tertentu.

Secara mudah, kalaulah Islam yang merupakan satu-satunya agama yang diredai oleh Allah hanya terbatas dalam bentuk ibadat khusus seperti solat lima waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji sudah tentulah perjuangan menyebarkannya tidak akan menempuh halangan dan kesukaran. Kalaulah ini sahaja merupakan hakikat agama baru yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw sudah tentu seorang penduduk desa yang buta huruf tidak akan berkata kepada baginda : Perjuangan ini pasti dibenci oleh para raja dan pemerintah “. Kalaulah sekadar itu sahaja ajaran Islam – ditunaikan dalam masa dan ruang yang terhad - sudah tentulah Rasulullah saw yang terkenal dengan gelaran al-Amin semenjak sebelum baginda diutus menjadi rasul didustai seruannya oleh masyarakat yang memberi dan memanggilnya dengan gelaran tersebut.

Islam adalah agama dan perjuangan seluruh nabi-nabi yang bermula dari Adam as sehinggalah kepada Nabi terakhir Muhammad saw. Ia membawa maksud penyerahan diri secara mutlak kepada seluruh perintah dan larangan Allah seperti yang terkandung di dalam wahyu yang diturunkan kepada utusannya. Maka sesiapa yang menyerahkan seluruh jiwa raga dan anggotanya untuk akur dan tunduk kepada segala perintah yang telah disampaikan oleh utusan Allah maka dia adalah seorang muslim. Kandungan ajaran Islam yang telah disampaikan oleh para rasul sepanjang zaman adalah sama dari segi prinsip iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah walaupun berbeza dari segi syariat. Ia telah menjadi lengkap dan sesuai untuk diamalkan sepanjang zaman dan masa setelah pengutusan Nabi dan Rasul terakhir Muhammad saw. Ini kerana nabi-nabi terdahulu hanya diutuskan untuk kaum tertentu sahaja sedangkan Nabi kita Muhammad saw diutuskan untuk seluruh umat manusia. Kerana itulah risalahnya terpakai hingga akhir zaman.

Bagi memudahkan kefahaman kita kepada Islam para ulama dan sarjana Islam telah memberi pelbagai takrifan kepada agama suci ini. Ia adalah kesimpulan dari himpunan takrifan yang telah diberikan oleh Rasulullah sawa. Salah satu ungkapan yang mudah untuk kita fahami apa itu Islam ialah ungkapan Al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna dalam usul kefahaman yang pertama. Beliau telah menyimpulkannya seperti berikut : “ Islam adalah satu sistem yang lengkap merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah Negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah

Bagi meningkatkan kasih dan cintanya kita kepada Islam, marilah kita memahami Islam berdasarkan kepada sumbernya sebenar iaitu al-Quran dan sunah Rasulullah saw. Kesanggupan untuk beramal dengan segala ajaran yang terkandung di dalam Islam akan terjelma apabila kita benar-benar mengenalinya. Kefahaman yang sejati pasti akan melahirkan jiwa yang sanggup berkorban untuk menyebar dan mempertahankan agama suci ini. Sesungguhnya dunia hari ini sedang menunggu Islam untuk menyelamatkannya dari kehancuran akibat kerakusan nafsu manusia yang sudah hilang sifat keinsanannya. Ingatlah jaminan yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah saw : Islamlah kamu pasti selamat.

Saturday 18 June 2011

Kemanakah Berlalunya Pesanan Setiap Jumaat

Di antara pesanan yang tidak pernah ditinggalkan oleh mana-mana khatib yang bertanggungjawab menyampaikan khutbah pada setiap Jumaat ialah pesanan supaya bertakwa kepada Allah swt. Ia merupakan salah satu rukun yang mesti disebut di dalam kedua-dua khutbah. Akibat meninggalkan pesanan ini bermakna tidak sahlah solat Jumaat hari tersebut. Pengulangan pesanan supaya bertakwa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu menggambarkan kepada kita kepentingannya dalam kehidupan. Ia adalah kekuatan yang mendorong kita untuk bertindak di atas landasan yang mendapat keredaan Ilahi. Tanpanya hilanglah keupayaan untuk melaksanakan perintah dan lenyaplah kekuatan untuk meninggalkan segala larangan Yang Maha Kuasa.

Melihat kepada realiti yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam kini, khususnya para jemaah yang mendirikan solat Jumaat setiap minggu menjelaskan kepada kita seolah-olah pesanan tersebut tidak sampai ke dalam lubuk hati. Ia seolah-olah tidak lebih dari sekadar memindahkan sesuatu dari bentuk tulisan kepada bentuk suara yang mampu didengar oleh telinga insan yang tidak mengalami kerosakan pendengaran. Apa tidaknya, masjid yang penuh dengan para jemaah sehingga melimpah keluar masjid hanya dapat dilihat pada tengah hari setiap Jumaat sahaja. Selepas itu suasana kembali sepi seolah-olah tiada yang sudi mengimarahkannya kecuali beberapa kerat insan kerdil yang sudah lanjut usia. Bilangannya pula cukup menyedihkan yang kadang-kadang tidak sampai satu saf. Sesekali terfikir juga, apakah mungkin pesanan tersebut hanya lahir dari lidah yang tidak bertulang tanpa penghayatan terhadap makna dan falsafahnya. Hasilnya ungkapan supaya bertakwa dan meningkat tahap ketakwaan terbang bersama tiupan angin dari kipas-kipas dinding yang mengelilingi dinding masjid dan surau. Sebagai seorang insan kerdil yang pernah diamanahkan untuk menyampaikan khutbah terasa cukup terkilan dengan fenomena yang sedang berlaku. Di manakah silapnya sehingga pesanan yang berkat itu tidak melekat dalam lubuk hati dan sanubari para jemaah?

Apa beberapa kemungkinan yang dapat disimpulkan. Pertama mungkin hati majoriti umat Islam akhir zaman penuh dengan penyakit. Ia merupakan asbab utama yang melahirkan andaian serta kemungkinan-kemungkinan yang lain. Mana mungkin hati yang berpenyakit mampu merawat hati lain yang juga berpenyakit. Nasihat yang lahir dari mulut hanya mampu sampai kepada pendengaran telinga sahaja. Itu pun kalau pendengarnya tidak tertidur atau asyik dengan perkara lain. Takwa adalah kemuliaan dan asas penerimaan setiap amal dan ibadah yang kita laksanakan berdasarkan fimanNya surah al-Maidah ayat 27 mafhumnya : Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertakwa. Lantaran itu ia tidak mungkin bersebati dalam jiwa yang dibiarkan terus bergelumbang dengan maksiat dan penderhakaan kepada Allah swt. Langkah awal untuk meraih sifat takwa bermula dengan penyucian jiwa melalui taubat nasuha. Ia lahir dari jiwa seorang hamba yang menginsafi kealpaan diri dalam melaksanakan perhambaan kepada Yang Maha Kuasa.

Hilangnya kesediaan untuk menerima ilmu dan beramal dengannya adalah sebahagian daripada kesan penyakit hati yang tidak diubati. Kesempatan ini dipergunakan oleh makhluk yang bernama syaitan untuk menjarakkan kita dari hidup berpandukan petunjuk. Tanpa kefahaman yang tepat kepada Islam yang menjadi pegangan hidup menyebabkan kita hilang banyak kebaikan dalam hidup. Sudah tentulah kebaikan utama yang juga hilang dari kita ialah keredaan Allah swt yang menjadi buruan dan impian terbesar setiap insan mukmin. Kesibukan dengan urusan duniawi yang tidak pernah berkurangan turut menjadi penghalang untuk kita berfikir dan merenung tentang bekalan yang sepatutnya disediakan untuk hari pertemuan dengan Allah azzawajalla. Keadaan ini amat berbeza dengan suasana umat Islam yang hidup pada kurun terbaik. Kesibukan urusan dunia tidak menghalang mereka untuk mengingati Allah swt dan menyediakan bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi. Tindakan mereka telah dirakamkan oleh Allah melalui seperti mana firmanNya dalam surah an-Nur ayat 37 mafhumnya : laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

Sesungguhnya kebimbangan terpengaruhnya umat akhir zaman dengan perlumbaan mengejar kemewahan dunia telah disuarakan oleh Rasulullah saw semenjak seribu empat ratus tahun yang lampau seperti mana mafhum sabdanya : Demi Allah bukanlah kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan kepada kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana mereka telah berlumba-lumba, lantaran itu kamu menjadi binasa sebagaimana mereka telah dibinasakan (Riwayat Bukhari). Apa yang telah diperingatkan oleh Rasulullah saw memang sedang berlaku dalam masyarakat Islam. Perlumbaan mengejar kebendaan telah menyebabkan umat Islam hilang identiti diri. Kita kini dibelengu oleh penyakit cintakan dunia dan takutkan kematian. Padahnya kita hilang maruah diri, tiada pendirian dan menjadi ratahan bangsa dan umat lain.