Saturday, 21 November 2009

Kesederhanaan Ciri Umat Pilihan

Kesederhanaan (al-wasatiyyah) dalam semua tindakan, sikap dan amal adalah ciri keistimewaan Islam. Bahkan ianya juga ciri yang membezakannya dengan agama dan pegangan lain sebagaimana mafhun firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143 : "Dan demikianlah kami telah menjadikan kamu (umat Islam)umat pertengahan (umat yang adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia.".

Penekanan terhadap perilaku 'sederhana' dalam perkara yang harus seperti makan dan minum juga kita ketemui dalam banyak firman Allah SWT. Diantaranya ayat 31 surah al-‘Araf yang bermaksud :".....makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan...”

Oleh kerana itulah tindakan melabel Islam dan penganutnya sebagai golongan yang bersikap ekstremis adalah perbuatan manusia yang hilang kewarasan pemikiran dan kejernihan hati. Sikap benci dan dendam kesumat yang tidak pernah padam terhadap Islam menyebabkan Barat melabelkan umat Islam sebagai fundamentalis, ekstremis, teroris dan sebagainya. Istilah-istilah ini telah dicanang dan dipropagandakan agar diterima pakai di seluruh dunia. Mereka memberi alasan tindakan ganas dan kejam terhadap umat Islam bertujuan menyelamatkan dunia dari ancaman kumpulan teroris ini. Agak malang sekali, ramai yang terpedaya atau sengaja memperdayakan diri sendiri sehingga sanggup menelan tohmahan musuh secara bulat-bulat.

Kebaikan di dunia dan kebahagian di akhirat yang menjadi harapan setiap mukmin sebagaimana terkandung dalam doa harian mereka insyaallah tercapai melalui penghayatan sikap kesederhanaan dalam setiap amalan dan tindakan. Penghayatan terhadap sikap ini dapat mengelakkan diri dari rasa terbeban dengan sesuatu tangungjawab yang membawa kepada rasa lemah dan malas. Inilah hikmat yang terkandung dalam mafhum sabda Nabi saw yang diriwayatkan Ibn Majah, Abu Ya’la dan Ibn Hibban : Wahai manusia, bersederhanalah kamu, bersederhanalah kamu, kerana Allah SWT tidak pernah rasa jemu sehingga kamu merasa jemu.

Kemusnahan yang menimpa kehidupan manusia adalah berpunca daripada hilangnya kesederhanaan dalam hidup. Apabila tindakan melampau menguasai kehidupan, kita akan hilang keseimbangan dalam setiap perkara. Akibatnya kebahagiaan yang diimpikan bertukar menjadi kesengsaraan sebagaimana mafhum firman Allah SWT dalam surah al Isra’ Ayat 29 : “ Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (kikir) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (terlalu Pemurah) karena itu kamu menjadi tercela dan menyesal .

Kerana itulah menjadi kewajipan setiap individu muslim untuk menggarapkan sifat kesederhanaan dalam diri melalui pemahaman yang jelas.terhadap dasar-dasar Islam. Pembebasan diri dari unsur-unsur jumud yang menolak pembaharuan dan ijtihad dalam ruang lingkup yang dibenarkan syara' mestilah dilakukan. Begitu juga sikap melampau sehingga mendahului petunjuk mestilah dielakkan dengan sedaya mungkin.

No comments:

Post a Comment