Friday, 20 November 2009

Cepatnya Masa Berlalu : Pergi Tidak Kembali Lagi


Kenangan bersama rakan seperjuangan.


Sentuhan terakhir di perakam waktu SMK Permatang Tok Jaya

Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan tahun 2009. Cuti panjang akan bermula esok 21/11/2009 hingga 03/01/2010. Keseronokan mula tampak di wajak anak-anak kerana sepanjang tempoh tersebut mereka tidak dibebani dengan pelbagai kerja sekolah. Hari ini juga merupakan hari terakhir saya berkhidmat di SMK Permatang Tok Jaya. Mulai 1 Disember ini saya mula bertukar ke SMK Permatang Pasir. Suka duka bersama SMK Permatang Tok Jaya selama 8 tahun sukar untuk dilupakan. Keakraban bersama rakan seperjuangan adalah sebahagian daripada kenangan manis dan saya mengharapkan suasana yang lebih baik ditemui di tempat baru ini.

Saya ditukarkan dari SMK Alma ke SMK Permatang Tok Jaya pada awal tahun 2002 setelah setahun berada di sana. Kelas KAA (Kelas Aliran Agama) yang mula beroperasi pada tahun tersebut membolehkan saya kembali menjadi guru bahasa Arab setelah setahun mengajar Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu. Agak jauh terpesong arah bahtera yang saya layari. Lulusan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab dengan pengkhususan Linguistik mengajar bahasa Melayu. Tanpa saya nafikan, banyak perkara baru yang diperolehi sepanjang tempoh tersebut.

Budaya baru terpaksa saya tempuhi semasa di SMK Alma. Apa tidaknya, saya tidak pernah melalui pengalaman berada di SMK harian biasa sebagai seorang murid dan juga guru. Maahad Muhammadi Lelaki Kota Baharu satu-satu tempat saya menerima pendidikan menengah sebelum meneruskan pengajian di Maghribi. Setelah bergelar seorang pendidik saya ditempatkan di SMKA dan hanya mengajar bahasa Arab SPM dan STPM. Bayangkan, bagaimana saya nak memulakan tugasan sebagai guru pendidikan Islam dan bahasa Melayu tingkatan satu. Keadaan saya hampir sama seperti seorang guru baru yang memulakan pengajaran tanpa pengalaman dalam bidang yang diajar.

Kerana cinta dan seronok mengajar bahasa Arab saya memohon ditukarkan ke sekolah baru. Mudah-mudahan harapan dan niat untuk mengajar bahasa Arab sebagai matapelajaran utama tercapai. Pada peringkat awal semasa di SMK Permatang Tok Jaya hanya saya seorang sahaja yang mengajar bahasa Arab. Setelah dua tahun kelas KAA berjalan ada rakan baru ditempatkan di sini. Pada tahun seterusnya bertambah lagi guru yang boleh mengajar bahasa Arab. Oleh kerana kelas KAA ada 3 kelas sahaja kami bahagikan satu kelas kepada setiap orang guru. Saya merasakan satu kerugian besar kerana sedikit pengalaman yang dimiliki tidak dapat dicurahkan dengan semaksimum mungkin. Saya sebenarnya tidak berkemahiran untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam menyeronokkan. Bagi pelajaran bahasa Arab, saya yakin saya lebih kreatif dan lebih berkebolehan.

Masa dalam kehidupan kita berlalu dengan sangat cepat dan pantas. Kehilangannya walaupun diratapi sehingga keluar air mata darah sekalipun tidak akan kembali lagi. Mereka yang memanfaatkannya dengan sebaik mungkin tergolong dalam kumpulan yang beruntung sementara yang mensia-siakannya adalah sebaliknya. Hilang kebaikan dunia dan luput kebahagian akhirat. Kerana itulah banyak ayat-ayat al-Quran yang mengingatkan kita tentang kepentingan masa dalam kehidupan. Ianya akan berharga apabila kita memberikan nilai kepadanya. Seperti sekeping wang kertas, ianya akan bernilai apabila diletakkan nilai RM1, RM5 dan yang seumpamanya. Malangnya kita jarang memberi nilai yang sepatutnya kepada masa yang masih kita miliki walaupun ianya adalah modal kehidupan.

Kesedaran terhadap tanggungjawab dan amanah yang perlu laksanakan dan disiapkan dalam tempoh masa tertentu menyebabkan masa berharga dalam hidup kita. Sementara kelalaian atau sengaja mengabaikan tanggungjawab merupakan salah satu faktor masa dibiarkan berlalu tanpa sebarang nilai yang sepatutnya. Keseronokan dan selesa dengan apa yang sudah dimiliki adalah pembunuh masa yang tidak kita sedari. Menghabiskan masa berjam-jam duduk di café untuk bersembang kosong, menghirup secawan teh dan menghisap sebatang rokok adalah sebahagian fenomena tidak menghargai masa yang jelas kelihatan dalam masyarakat kini. Masih boleh berehatkah dalam keadaan umat sangat mendesak kita melakukan sesuatu?

Kita semua dikurniakan 24 jam sehari semalam. Kemanakah dihabiskannya? Ingatlah kesibukan semakin bertambah dari sehari ke sehari, tanggungjawab juga bertambah besar, bebanan kerja tidak akan berkurangan dan cabaran kehidupan kian meningkat. Susunlah tugasan dan dahulukan yang lebih utama agar masa tersebut mempunyai nilai tambah yang tinggi.

No comments:

Post a Comment