Wednesday, 18 November 2009

Anda Peka Dengan Makanan ?







Majlis jamuan akhir tahun (Annual Lunch /Dinner) adalah diantara program yang agak popular pada penghujung tahun. Di SMK Permatang Tok Jaya, kelas 3AG telah mengadakan majlis tersebut petang semalam. Pelbagai hidangan disajikan kepada para guru yang dijemput ke majlis tersebut. Sate merupakan salah satu hidangan yang boleh dikatakan tidak pernah ketinggalan dalam senarai menu yang disediakan. Saya mengambil kesempatan menghidangkan minuman yogurt (baladi) hasil tangan Teman Sejati kepada jemputan yang hadir. Majlis serba sederhana itu berlangsung dengan agak meriah juga.

Hubungan antara makanan yang diambil dengan kebersihan hati sangat rapat. Kebersihatan dan kejernihan hati bergantung kepada jenis makanan yang dimakan. Sebab itulah penekanan kepada halal dan haram adalah diantara keutamaan yang dititik beratkan dalam Islam. Menjauhi perkara yang tidak pasti kandungan halal atau haram adalah sebahagian daripada sifa wara’ yang membersihkan pegangan agama seperti mafhum sabda Nabi saw. Tanpanya secara sedar atau tidak banyak makanan yang tidak disembelih dengan sempurna dan makanan haram akan memasuki tubuh kita. Ini merupakan penyebab kita lalai melakukan ibadah kepada Allah S.W.T.

Saya melihat kepekaan dalam pemilihan makanan dikalangan orang Islam masih rendah. Walaupun ada pilihan makanan yang dikeluarkan oleh orang Islam, masih ada yang memilih produk sama yang dikeluarkan oleh bukan Islam. Ada sebahagian makanan yang bertanda halal tiada dalam senarai ataupun tamat tempoh sijil pengesahan halal. Sebahagian pula tidak menggunakan logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM. Barangan keluaran bumiputera Islam boleh didapati dipasaran tempatan dengan agak mudah. Adakah ianya menjadi pilihan anda?.

Kepada mereka yang suka mengunjungi restoran dan kopitiam diharap tidak mengambil ringan tentang soal makanan. Janganlah memadai dengan logo halal yang dipaparkan dipintu-pintu dan juga dinding. Kita bukan sahaja perlu memastikan bahan yang dihidangkan itu halal dimakan tetapi tangan yang menyediakan makanan juga adalah tangan-tangan yang suci dan bersih. Kecuaian akan memberi kesan terhadap sikap dan perwatakan. Kebaikan dan kejahatan amat bergantung kepada hati sebagai pusat menggerakkan arahan. Renunglah firman Allah S.W.T yang bermaksud : Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang terang nyata bagi kamu. Ia akan menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) kamu supaya berkata (dusta) terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya). (Surah al-Baqarah, ayat 168-169).

Sebagai umat pilihan kita memerlukan kekuatan dari segi mental dan fizikal. Oleh itu pemilihan makanan yang berkualiti (halal) dan seimbang mestilah dibudayakan kerana fitrah kejadian manusia menghendaki setiap apa yang diterimanya adalah yang terbaik. Tidak ada yang lebih baik daripada apa yang dihalalkan oleh Islam kerana ianya pilihan Pencipta Yang Maha Mengetahui. Darinya tercernalah sebuah kehidupan yang produktif dan progresif yang merupakan sifat umat yang terbaik.

No comments:

Post a Comment