Rasa mengantuk dan kurang cergas selepas makan tengah hari adalah masalah biasa yang dihadapi kebanyakan manusia. Tetapi apa yang selalu berlaku kepada pelajar-pelajar saya di kelas x adalah sesuatu yang luar biasa. Hampir dua pertiga daripada pelajar kelas tersebut akan menguap sebaik sahaja guru memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mereka akan mula meletakkan kepala di atas meja dan kalau dibiarkan akan terus lena dibuai mimpi. Fenomena ini dapat kita lihat samada pada waktu pagi ataupun tengahari dan semakin jelas apabila tidak diberi peluang untuk bersembang sesama mereka. Saya salah seorang guru yang tidak popular di kalangan mereka kerana tidak membiarkan perkara ini berlaku semasa saya mengajar .
Perkataan seperti jemu, bosan, malas, mengantuk dan tidak ada mood adalah diantara ungkapan biasa yang kita dengari daripada mereka. Perasaan tersebut sebenarnya bermula dari minda negatif yang merupakan penghalang kejayaan seseorang dalam apa jua kerjaya yang diceburi. Ianya juga akan menjadikan kita orang yang tidak sanggup menghadapi cabaran dan akhirnya ketinggalan dalam segenap bidang kehidupan.
Lahirnya sikap negatif dalam diri dan pemikiran adalah berpunca daripada sikap malas berusaha, tidak mahu berfikir, cintakan hiburan dan hidup tanpa tanggungjawab. Untuk mencapai kejayaan yang cemerlang kita mestilah berusaha mengubah sikap yang terdapat dalam diri kita. Walaupun sukar untuk kita singkirkan sikap negatif secara keseluruhan tetapi kita boleh berusaha untuk menjadikan ianya semakin mengecil. Caranya dengan tingkatkan yang positif insyaallah kita dapat mengurangkan yang negatif.
Nampaknya perjuangan saya dalam kelas x berakhir pada tahun ini. Apa yang pasti kelas x bukan sahaja mencabar kewibawaan saya sebagai seorang guru malah turut menguji darjah kesabaran saya yang adakalanya saya rasakan lebih nipis daripada kulit bawang. Namun begitu, tidak dapat saya sangkalkan juga bahawa kelas x banyak mengajar saya erti guru yang sebenar iaitu bukan sekadar mengajar apa yang ada dalam sukatan tetapi mendidik pelajar kita menjadi insan yang sempurna dan beriman dan untuk itu saya kira kelas x benar-benar mencabar kerana ilmu dari awal lagi sudah ditolak apatah lagi untuk membimbing mereka ke jalan agama. Teruskanlah perjuangan ustaz untuk mendidik mereka meskipun bukan untuk mencapai keputusan yang cemerlang tetapi sekurang-kurangnya menjadi manusia yang ada rasa harga diri dan perasaan malu..
ReplyDelete