Saturday 24 October 2009

Prestasi Oh Prestasi

Mengisi borang penilaian prestasi pada penghujung setiap tahun adalah perkara biasa bagi pegawai-pegawai perkhidmtan awam. Khidmat mereka akan dinilai oleh pegawai atasan berdasarkan skala markah dan kriteria yang telah ditetapkan dalam borang tersebut. Ada yang tersenyum lebar setelah keputusan penilaian diterima dan ada pula sebaliknya. Sebahagian daripada mereka merasakan khidmat yang disumbangkan itu dihargai oleh pihak atasan apabila markah yang diperolehi sentiasa meningkat walaupun sekadar 0.5 markah. Sementara yang lain pula merasakan sebaliknya apabila markah yang diperolehi semakin rendah. Penilaian manusia adalah penilaian yang tidak mutlak dan sering dipengaruhi oleh hawa nafsu dan kepentingan-kepentingan tertentu walaupun mereka menafikannya. Itulah lumrah kehidupan dunia yang tidak kekal ini.

Kita kadang-kadang lupa atau sengaja buat-buat lupa, bahawa apa yang dinilai itu akan dinilai sekali lagi di Mahsyar kelak. Penilai dan orang yang dinilai akan berhadapan dengan penilaian yang tidak dipengaruhi oleh sebarang kepentingan samada besar atau kecil. Maka berhati-hatilah dalam setiap langkah dan gerak kerja yang kita laksanakan sekarang agar penilaian di Mahkamah ‘Rabul Jalil’ menyebelahi kita. Bimbinglah setiap tindakan dan perancangan dengan suluhan ilmu dan petunjuk dari Allah swt. Jauhilah dari sifat ' عجب ' kagum dengan diri sendiri agar kita mampu menghargai jasa dan sumbangan orang lain. Jauhilah diri dari sebarang perasangka buruk terhadap sesama insan dan janganlah terpedaya dengan perangkap dan tipu daya syaitan.

Ingatlah! Saat pertemuan dengan Allah swt adalah sangat dekat. Ianya tidak mengenal usia, pangkat, kedudukan dan juga tempat. Maka sentiasalah kita bersedia untuk saat dan pertemuan yang tidak berguna lagi harta benda, pangkat kebesaran dan kemegahan dunia kecuali mereka yang datang menemui Allah swt dengan hati yang sejahtera.

1 comment:

  1. Sabar ustaz.
    Penilaian manusia biasalah. Jarang benar yang memenuhi penilaian yang hakiki.Namun dalam apa pun gerak kerja kita perlulah ada keikhlasan. Keikhlasanlah terletaknya segala penilaian allah terhadap kita.

    ReplyDelete