Saturday, 18 June 2011

Kemanakah Berlalunya Pesanan Setiap Jumaat

Di antara pesanan yang tidak pernah ditinggalkan oleh mana-mana khatib yang bertanggungjawab menyampaikan khutbah pada setiap Jumaat ialah pesanan supaya bertakwa kepada Allah swt. Ia merupakan salah satu rukun yang mesti disebut di dalam kedua-dua khutbah. Akibat meninggalkan pesanan ini bermakna tidak sahlah solat Jumaat hari tersebut. Pengulangan pesanan supaya bertakwa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu menggambarkan kepada kita kepentingannya dalam kehidupan. Ia adalah kekuatan yang mendorong kita untuk bertindak di atas landasan yang mendapat keredaan Ilahi. Tanpanya hilanglah keupayaan untuk melaksanakan perintah dan lenyaplah kekuatan untuk meninggalkan segala larangan Yang Maha Kuasa.

Melihat kepada realiti yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam kini, khususnya para jemaah yang mendirikan solat Jumaat setiap minggu menjelaskan kepada kita seolah-olah pesanan tersebut tidak sampai ke dalam lubuk hati. Ia seolah-olah tidak lebih dari sekadar memindahkan sesuatu dari bentuk tulisan kepada bentuk suara yang mampu didengar oleh telinga insan yang tidak mengalami kerosakan pendengaran. Apa tidaknya, masjid yang penuh dengan para jemaah sehingga melimpah keluar masjid hanya dapat dilihat pada tengah hari setiap Jumaat sahaja. Selepas itu suasana kembali sepi seolah-olah tiada yang sudi mengimarahkannya kecuali beberapa kerat insan kerdil yang sudah lanjut usia. Bilangannya pula cukup menyedihkan yang kadang-kadang tidak sampai satu saf. Sesekali terfikir juga, apakah mungkin pesanan tersebut hanya lahir dari lidah yang tidak bertulang tanpa penghayatan terhadap makna dan falsafahnya. Hasilnya ungkapan supaya bertakwa dan meningkat tahap ketakwaan terbang bersama tiupan angin dari kipas-kipas dinding yang mengelilingi dinding masjid dan surau. Sebagai seorang insan kerdil yang pernah diamanahkan untuk menyampaikan khutbah terasa cukup terkilan dengan fenomena yang sedang berlaku. Di manakah silapnya sehingga pesanan yang berkat itu tidak melekat dalam lubuk hati dan sanubari para jemaah?

Apa beberapa kemungkinan yang dapat disimpulkan. Pertama mungkin hati majoriti umat Islam akhir zaman penuh dengan penyakit. Ia merupakan asbab utama yang melahirkan andaian serta kemungkinan-kemungkinan yang lain. Mana mungkin hati yang berpenyakit mampu merawat hati lain yang juga berpenyakit. Nasihat yang lahir dari mulut hanya mampu sampai kepada pendengaran telinga sahaja. Itu pun kalau pendengarnya tidak tertidur atau asyik dengan perkara lain. Takwa adalah kemuliaan dan asas penerimaan setiap amal dan ibadah yang kita laksanakan berdasarkan fimanNya surah al-Maidah ayat 27 mafhumnya : Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertakwa. Lantaran itu ia tidak mungkin bersebati dalam jiwa yang dibiarkan terus bergelumbang dengan maksiat dan penderhakaan kepada Allah swt. Langkah awal untuk meraih sifat takwa bermula dengan penyucian jiwa melalui taubat nasuha. Ia lahir dari jiwa seorang hamba yang menginsafi kealpaan diri dalam melaksanakan perhambaan kepada Yang Maha Kuasa.

Hilangnya kesediaan untuk menerima ilmu dan beramal dengannya adalah sebahagian daripada kesan penyakit hati yang tidak diubati. Kesempatan ini dipergunakan oleh makhluk yang bernama syaitan untuk menjarakkan kita dari hidup berpandukan petunjuk. Tanpa kefahaman yang tepat kepada Islam yang menjadi pegangan hidup menyebabkan kita hilang banyak kebaikan dalam hidup. Sudah tentulah kebaikan utama yang juga hilang dari kita ialah keredaan Allah swt yang menjadi buruan dan impian terbesar setiap insan mukmin. Kesibukan dengan urusan duniawi yang tidak pernah berkurangan turut menjadi penghalang untuk kita berfikir dan merenung tentang bekalan yang sepatutnya disediakan untuk hari pertemuan dengan Allah azzawajalla. Keadaan ini amat berbeza dengan suasana umat Islam yang hidup pada kurun terbaik. Kesibukan urusan dunia tidak menghalang mereka untuk mengingati Allah swt dan menyediakan bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi. Tindakan mereka telah dirakamkan oleh Allah melalui seperti mana firmanNya dalam surah an-Nur ayat 37 mafhumnya : laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

Sesungguhnya kebimbangan terpengaruhnya umat akhir zaman dengan perlumbaan mengejar kemewahan dunia telah disuarakan oleh Rasulullah saw semenjak seribu empat ratus tahun yang lampau seperti mana mafhum sabdanya : Demi Allah bukanlah kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan kepada kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana mereka telah berlumba-lumba, lantaran itu kamu menjadi binasa sebagaimana mereka telah dibinasakan (Riwayat Bukhari). Apa yang telah diperingatkan oleh Rasulullah saw memang sedang berlaku dalam masyarakat Islam. Perlumbaan mengejar kebendaan telah menyebabkan umat Islam hilang identiti diri. Kita kini dibelengu oleh penyakit cintakan dunia dan takutkan kematian. Padahnya kita hilang maruah diri, tiada pendirian dan menjadi ratahan bangsa dan umat lain.

No comments:

Post a Comment