Friday, 24 June 2011

Jom Kenali Dan Fahami Islam

Di antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh Islam di abad ini ialah kejahilan majoriti penganutnya terhadap ajaran yang mereka anuti. Hasilnya lahirlah pelbagai fahaman dan tanggapan yang terpesong dari fahaman sebenar yang Allah ajarkan kepada utusan terakhirnya Muhammad saw. Mereka tidak mampu memberi jawapan yang tepat terhadap agama suci yang menjadi anutan mereka. Lantaran itulah paparan kehidupan yang dipertontonkan kepada masyarakat luar tidak memperlihatkan perbezaan yang nyata di antara seorang penganut Islam dengan bukan Islam. Aneh bukan, kerana perbezaan Islam dengan ajaran selainnya adalah jelas. Perbezaan di antara kedua-duanya umpama siang dan malam. Islam datangnya daripada Allah sedangkan ajaran-ajaran lain dari hawa nafsu manusia yang sesat lagi menyesatkan. Namun dek kerana kejahilan terhadap ajaran suci ini, menjadikan majoriti umat Islam dewasa kini tidak mampu membezakan di antara Islam dengan jahiliah.

Kejahilan inilah yang telah menyebabkan simpulan Islam yang telah diikat kemas oleh Rasulullah saw dan diteruskan oleh generasi awal Islam serta mereka yang mewarisi perjuangan ini, mula terungkai satu persatu. Mungkin kita tidak boleh menerima hakikat bahawa, manusia yang mengaku beragama Islam sanggup menghina dan mempersendakan agama mereka sendiri. Kesanggupan akhbar utama arus perdana menyiarkan kartun yang menghina sebahagian dari ajaran Islam adalah bukti jelas ceteknya pemahaman mereka yang bertanggungjawab kepada Islam. Ini bukan pertama kali bahkan telah berkali-kali kartun yang menghina Islam disiarkan di muka depan akhbar tersebut. Tentu kita masih ingat pernah tersiar di muka depan akhbar berkenaan juga kartun yang menghina hukum hudud. Digambarkan satu kumpulan manusia yang tiba di Kuala Lumpur dari salah sebuah negeri di Pantai Timur dalam keadaan kudung tangan dan kaki. Lantaran kejahilan yang telah menguasai diri disangkanya perbuatan tersebut mampu menempelak musuh politik mereka sedangkan pada hakikatnya mereka telah menghina agama dan anutan mereka sendiri. Mereka lupa bahawa Islam adalah milik kita semua bukan milik parti politik tertentu.

Secara mudah, kalaulah Islam yang merupakan satu-satunya agama yang diredai oleh Allah hanya terbatas dalam bentuk ibadat khusus seperti solat lima waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji sudah tentulah perjuangan menyebarkannya tidak akan menempuh halangan dan kesukaran. Kalaulah ini sahaja merupakan hakikat agama baru yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw sudah tentu seorang penduduk desa yang buta huruf tidak akan berkata kepada baginda : Perjuangan ini pasti dibenci oleh para raja dan pemerintah “. Kalaulah sekadar itu sahaja ajaran Islam – ditunaikan dalam masa dan ruang yang terhad - sudah tentulah Rasulullah saw yang terkenal dengan gelaran al-Amin semenjak sebelum baginda diutus menjadi rasul didustai seruannya oleh masyarakat yang memberi dan memanggilnya dengan gelaran tersebut.

Islam adalah agama dan perjuangan seluruh nabi-nabi yang bermula dari Adam as sehinggalah kepada Nabi terakhir Muhammad saw. Ia membawa maksud penyerahan diri secara mutlak kepada seluruh perintah dan larangan Allah seperti yang terkandung di dalam wahyu yang diturunkan kepada utusannya. Maka sesiapa yang menyerahkan seluruh jiwa raga dan anggotanya untuk akur dan tunduk kepada segala perintah yang telah disampaikan oleh utusan Allah maka dia adalah seorang muslim. Kandungan ajaran Islam yang telah disampaikan oleh para rasul sepanjang zaman adalah sama dari segi prinsip iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah walaupun berbeza dari segi syariat. Ia telah menjadi lengkap dan sesuai untuk diamalkan sepanjang zaman dan masa setelah pengutusan Nabi dan Rasul terakhir Muhammad saw. Ini kerana nabi-nabi terdahulu hanya diutuskan untuk kaum tertentu sahaja sedangkan Nabi kita Muhammad saw diutuskan untuk seluruh umat manusia. Kerana itulah risalahnya terpakai hingga akhir zaman.

Bagi memudahkan kefahaman kita kepada Islam para ulama dan sarjana Islam telah memberi pelbagai takrifan kepada agama suci ini. Ia adalah kesimpulan dari himpunan takrifan yang telah diberikan oleh Rasulullah sawa. Salah satu ungkapan yang mudah untuk kita fahami apa itu Islam ialah ungkapan Al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna dalam usul kefahaman yang pertama. Beliau telah menyimpulkannya seperti berikut : “ Islam adalah satu sistem yang lengkap merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah Negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah

Bagi meningkatkan kasih dan cintanya kita kepada Islam, marilah kita memahami Islam berdasarkan kepada sumbernya sebenar iaitu al-Quran dan sunah Rasulullah saw. Kesanggupan untuk beramal dengan segala ajaran yang terkandung di dalam Islam akan terjelma apabila kita benar-benar mengenalinya. Kefahaman yang sejati pasti akan melahirkan jiwa yang sanggup berkorban untuk menyebar dan mempertahankan agama suci ini. Sesungguhnya dunia hari ini sedang menunggu Islam untuk menyelamatkannya dari kehancuran akibat kerakusan nafsu manusia yang sudah hilang sifat keinsanannya. Ingatlah jaminan yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah saw : Islamlah kamu pasti selamat.

No comments:

Post a Comment