Wednesday, 14 May 2014

Jom Katakan Tidak Kepada Hawa Nafsu



Kita biasanya akan berkata tidak kepada perkara yang kita tidak senangi. Kebencian terhadap perkara tersebut semakin bertambah apabila ia mengganggu kebahagian dan ketenangan hidup kita. Ramai yang boleh kata tidak kepada rokok, GST, kenaikan harga barang, penipuan pilihan raya  dan lain-lain lagi kerana yakin perkara tersebut mengganggu kesejahteraan hidup. Kita sanggup memenuhi jemputan untuk sama-sama turun kedataran dan jalan raya demi menyatakan sokongan kepada gerakan tidak kepada perkara di atas. Kehadiran kita tidak dipaksa dan dibayar oleh sesiapa pun. Ia lahir dari lubuk hati dan keinginan kita sendiri.
Satu persoalan yang perlu kita renung bersama ialah : Apakah kita juga telah berkata tidak kepada hawa nafsu dan godaan syaitan? Bahaya kedua-duanya telah diperingatkan oleh Pencipta kita yang maha kuasa melalui beberapa firmaNya.  Di antaranya ialah :  

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ ﴿فاطر: ٦﴾

Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. (35: 6)

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ ﴿ص: ٢٦﴾

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. (38: 26)

Marilah kita nilai tahap protes kita kepada godaan syaitan dan hawa nafsu. Pada skala berapakah kedudukan protes dan penentangan kita. Apakah kita telah mula protes pagi kita dengan menyahut seruan yang berkumandang melalui corong-corong pembesar suara masjid dan surau. Apakah kita hanya memekakkan telinga kita dan membiarkan seruan tersebut berlalu dibawa bayu pagi tanpa sahutan yang sepatutnya. Lalu kita mencipta pelbagai alasan untuk menenangkan jiwa dan sanubari kita. Kita sebenarnya telah terpedaya dengan pujukan nafsu kerana telah membelakangi sunah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah saw. 

Panjatkanlah kesyukuran kepada Yang Maha Kuasa sekiranya tindakan kita tidak sedemikian rupa. Kita adalah insan yang sangat naif. Tidak punyai kudrat dan kekuatan untuk melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan melainkan dengan bantuan daripadaNya. Bersyukurlah sekiranya kita telah mulakan pagi dengan mengatur langkah demi langkah untuk sampai ke rumah-rumahNya. Kita tunaikan solat fardu subuh secara berjemaah di tempat yang paling mulia dan pada masa yang paling afdal.  

Kita perlukan sedikit pengorbanan untuk merealisasikan penentang kepada godaan syaitan dan hawa nafsu. Kita korbankan keinginan nafsu dan kita beramal dengan sunah baginda saw. Letakkan lah petunjuk yang telah kita warisi daripada baginda saw sebagai panduan. Amatilah setiap panduan tersebut dan jadikan ia sebagai pedoman yang memandu perjalanan dan gerak kerja kita. Ingatlah kita telah dijanjikan kejayaan dengan mentaati baginda saw sebagaimana sabdanya : 

عن أبي هريرة ـ رضي الله عنه ـ أن رسول الله ـ صلى الله عليه وسلم ـ قال: ( كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبَىَ، قيل: ومن يأبى؟ قال: من أطاعني دخل الجنة، ومن عصاني فقد أبَىَ ) رواه البخاري

Dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sekalian umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan.” Sahabat-sahabat Baginda bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang taat kepada ku akan masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah enggan.” (Riwayat Bukhari)

No comments:

Post a Comment