Coretan Dr Mohd Zaki
Wednesday, 14 May 2014
Jom Katakan Tidak Kepada Hawa Nafsu
Thursday, 2 August 2012
Ramadhan : Kesempatan Kembali Kepada Persaingan Sebenar
Wednesday, 17 August 2011
PSKD: SEKADAR PERINGATAN ..... TIDAK HALAL??????
Sunday, 3 July 2011
Al-Azkar : Peringatan Bagi Yang Alpa Dan Kesempurnaan Bagi Yang Komited
Sementara menunggu isteri menyiapkan sarapan pagi, saya menggunakan kesempatan pagi ini untuk membaca beberapa helaian kitab “ Al-Azkar ” karangan Imam Nawawi ra. Ia merupakan salah satu karya beliau yang membicarakan tentang zikir serta amalan dalam kehidupan seharian kita. Kitab ini sungguh bermakna untuk umat Islam terutamanya kita yang hidup pada zaman kebendaan menguasai kehidupan. Susunan hadis-hadis sahih berkaitan amalan serta zikir memberi sinaran dan pedoman yang menyuluh kehidupan kita sebagai hamba Allah.
Wirid dan zikir harian adalah amalan yang menjernih dan mententeramkan hati. Ini kerana hati seorang mukmin dalam perjalanannya menuju keredaan Allah swt terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Keupayaannya untuk kekal dalam keadaan yang mendapat keredaan Allah bergantung pada kekuatan hati untuk bertindak menentang tuntutan jasad dan nafsu yang diharamkan ke atasnya. Terpengaruhnya hati dengan desakan ini menyebabkan kita terjatuh ke dalam perangkap Iblis yang bahayanya sentiasa diperingatkan oleh Allah swt. Akibatnya terbentuklah satu titik hitam pada hati yang mengeruhkan kejernihannya. Apabila kejernihan hati menjadi semakin pudar, padah yang terpaksa ditanggung oleh kita ialah terhijabnya roh dari mengenal Allah swt dalam erti kata yang sebenar.
Kehidupan dalam persekitaran yang bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan seperti yang sedang kita alami hari ini sangat memerlukan kepada amalan dan zikir yang menjernihkan kembali hati dan sanubari. Kealpaan menguruskan hati agar sentiasa punyai hubungan dengan Pencipta Yang Maha Kuasa melalui wirid dan zikir harian ini mewujudkan hijab ke atas diri. Lantaran itulah kita dapati di antara tujuan pengajaran yang terkandung didalam ajaran Islam adalah untuk melaksanakan pembersihan secara berterusan ke atas hati, roh dan juga jasad manusia. Kenyataan ini dapat kita sarikan melalui firman Allah dalam surah al-Jumuah ayat 2 mafhumnya : Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
Seorang hamba yang ingin sampai ke tahap kesempurnaan dalam ubudiyah dan perhambaan kepada Penciptanya mestilah melaksanakan pembersihan secara berterusan terhadap hatinya menerusi amalan dan zikir yang telah menjadi amalan Rasulullah saw. Tindakan sedemikian akan menjadikan hatinya sentiasa disinari cahaya makrifat yang akan menerangi setiap langkah yang diaturnya. Kealpaan kita dalam melaksanakan rawatan hati secara berterusan agar terus bersinar dan bercahaya bermakna sengaja mendedahkan diri kepada bahaya.
Seseorang yang mempunyai wirid harian seperti yang telah diamalkan oleh Rasulullah saw akan mudah sedar apabila melakukan kesalahan dan segera bertaubat apabila tergelincir. Kepelbagaiannya pula seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih himpunan Imam Nawawi dapat menghilangkan kejemuan yang mudah timbul dalam diri manusia. Sesungguhnya penelitian dan pembacaan kitab “ Al-Azkar ” secara berterusan merupakan bekalan yang membantu kita untuk mencapai tujuan tersebut. Kajian dan usaha yang disumbangkan oleh Imam Nawawi ini amat bermakna untuk kita semua amati dalam mencari kesempurnaan ketika melaksanakan ibadah seharian.
Friday, 24 June 2011
Jom Kenali Dan Fahami Islam
Di antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh Islam di abad ini ialah kejahilan majoriti penganutnya terhadap ajaran yang mereka anuti. Hasilnya lahirlah pelbagai fahaman dan tanggapan yang terpesong dari fahaman sebenar yang Allah ajarkan kepada utusan terakhirnya Muhammad saw. Mereka tidak mampu memberi jawapan yang tepat terhadap agama suci yang menjadi anutan mereka. Lantaran itulah paparan kehidupan yang dipertontonkan kepada masyarakat luar tidak memperlihatkan perbezaan yang nyata di antara seorang penganut Islam dengan bukan Islam. Aneh bukan, kerana perbezaan Islam dengan ajaran selainnya adalah jelas. Perbezaan di antara kedua-duanya umpama siang dan malam. Islam datangnya daripada Allah sedangkan ajaran-ajaran lain dari hawa nafsu manusia yang sesat lagi menyesatkan. Namun dek kerana kejahilan terhadap ajaran suci ini, menjadikan majoriti umat Islam dewasa kini tidak mampu membezakan di antara Islam dengan jahiliah.
Kejahilan inilah yang telah menyebabkan simpulan Islam yang telah diikat kemas oleh Rasulullah saw dan diteruskan oleh generasi awal Islam serta mereka yang mewarisi perjuangan ini, mula terungkai satu persatu. Mungkin kita tidak boleh menerima hakikat bahawa, manusia yang mengaku beragama Islam sanggup menghina dan mempersendakan agama mereka sendiri. Kesanggupan akhbar utama arus perdana menyiarkan kartun yang menghina sebahagian dari ajaran Islam adalah bukti jelas ceteknya pemahaman mereka yang bertanggungjawab kepada Islam. Ini bukan pertama kali bahkan telah berkali-kali kartun yang menghina Islam disiarkan di muka depan akhbar tersebut. Tentu kita masih ingat pernah tersiar di muka depan akhbar berkenaan juga kartun yang menghina hukum hudud. Digambarkan satu kumpulan manusia yang tiba di Kuala Lumpur dari salah sebuah negeri di Pantai Timur dalam keadaan kudung tangan dan kaki. Lantaran kejahilan yang telah menguasai diri disangkanya perbuatan tersebut mampu menempelak musuh politik mereka sedangkan pada hakikatnya mereka telah menghina agama dan anutan mereka sendiri. Mereka lupa bahawa Islam adalah milik kita semua bukan milik parti politik tertentu.
Secara mudah, kalaulah Islam yang merupakan satu-satunya agama yang diredai oleh Allah hanya terbatas dalam bentuk ibadat khusus seperti solat lima waktu, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji sudah tentulah perjuangan menyebarkannya tidak akan menempuh halangan dan kesukaran. Kalaulah ini sahaja merupakan hakikat agama baru yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw sudah tentu seorang penduduk desa yang buta huruf tidak akan berkata kepada baginda : “ Perjuangan ini pasti dibenci oleh para raja dan pemerintah “. Kalaulah sekadar itu sahaja ajaran Islam – ditunaikan dalam masa dan ruang yang terhad - sudah tentulah Rasulullah saw yang terkenal dengan gelaran al-Amin semenjak sebelum baginda diutus menjadi rasul didustai seruannya oleh masyarakat yang memberi dan memanggilnya dengan gelaran tersebut.
Islam adalah agama dan perjuangan seluruh nabi-nabi yang bermula dari Adam as sehinggalah kepada Nabi terakhir Muhammad saw. Ia membawa maksud penyerahan diri secara mutlak kepada seluruh perintah dan larangan Allah seperti yang terkandung di dalam wahyu yang diturunkan kepada utusannya. Maka sesiapa yang menyerahkan seluruh jiwa raga dan anggotanya untuk akur dan tunduk kepada segala perintah yang telah disampaikan oleh utusan Allah maka dia adalah seorang muslim. Kandungan ajaran Islam yang telah disampaikan oleh para rasul sepanjang zaman adalah sama dari segi prinsip iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah walaupun berbeza dari segi syariat. Ia telah menjadi lengkap dan sesuai untuk diamalkan sepanjang zaman dan masa setelah pengutusan Nabi dan Rasul terakhir Muhammad saw. Ini kerana nabi-nabi terdahulu hanya diutuskan untuk kaum tertentu sahaja sedangkan Nabi kita Muhammad saw diutuskan untuk seluruh umat manusia. Kerana itulah risalahnya terpakai hingga akhir zaman.
Bagi memudahkan kefahaman kita kepada Islam para ulama dan sarjana Islam telah memberi pelbagai takrifan kepada agama suci ini. Ia adalah kesimpulan dari himpunan takrifan yang telah diberikan oleh Rasulullah sawa. Salah satu ungkapan yang mudah untuk kita fahami apa itu Islam ialah ungkapan Al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna dalam usul kefahaman yang pertama. Beliau telah menyimpulkannya seperti berikut : “ Islam adalah satu sistem yang lengkap merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah Negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah ”
Bagi meningkatkan kasih dan cintanya kita kepada Islam, marilah kita memahami Islam berdasarkan kepada sumbernya sebenar iaitu al-Quran dan sunah Rasulullah saw. Kesanggupan untuk beramal dengan segala ajaran yang terkandung di dalam Islam akan terjelma apabila kita benar-benar mengenalinya. Kefahaman yang sejati pasti akan melahirkan jiwa yang sanggup berkorban untuk menyebar dan mempertahankan agama suci ini. Sesungguhnya dunia hari ini sedang menunggu Islam untuk menyelamatkannya dari kehancuran akibat kerakusan nafsu manusia yang sudah hilang sifat keinsanannya. Ingatlah jaminan yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah saw : Islamlah kamu pasti selamat.
Saturday, 18 June 2011
Kemanakah Berlalunya Pesanan Setiap Jumaat
Di antara pesanan yang tidak pernah ditinggalkan oleh mana-mana khatib yang bertanggungjawab menyampaikan khutbah pada setiap Jumaat ialah pesanan supaya bertakwa kepada Allah swt. Ia merupakan salah satu rukun yang mesti disebut di dalam kedua-dua khutbah. Akibat meninggalkan pesanan ini bermakna tidak sahlah solat Jumaat hari tersebut. Pengulangan pesanan supaya bertakwa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu menggambarkan kepada kita kepentingannya dalam kehidupan. Ia adalah kekuatan yang mendorong kita untuk bertindak di atas landasan yang mendapat keredaan Ilahi. Tanpanya hilanglah keupayaan untuk melaksanakan perintah dan lenyaplah kekuatan untuk meninggalkan segala larangan Yang Maha Kuasa.
Melihat kepada realiti yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam kini, khususnya para jemaah yang mendirikan solat Jumaat setiap minggu menjelaskan kepada kita seolah-olah pesanan tersebut tidak sampai ke dalam lubuk hati. Ia seolah-olah tidak lebih dari sekadar memindahkan sesuatu dari bentuk tulisan kepada bentuk suara yang mampu didengar oleh telinga insan yang tidak mengalami kerosakan pendengaran. Apa tidaknya, masjid yang penuh dengan para jemaah sehingga melimpah keluar masjid hanya dapat dilihat pada tengah hari setiap Jumaat sahaja. Selepas itu suasana kembali sepi seolah-olah tiada yang sudi mengimarahkannya kecuali beberapa kerat insan kerdil yang sudah lanjut usia. Bilangannya pula cukup menyedihkan yang kadang-kadang tidak sampai satu saf. Sesekali terfikir juga, apakah mungkin pesanan tersebut hanya lahir dari lidah yang tidak bertulang tanpa penghayatan terhadap makna dan falsafahnya. Hasilnya ungkapan supaya bertakwa dan meningkat tahap ketakwaan terbang bersama tiupan angin dari kipas-kipas dinding yang mengelilingi dinding masjid dan surau. Sebagai seorang insan kerdil yang pernah diamanahkan untuk menyampaikan khutbah terasa cukup terkilan dengan fenomena yang sedang berlaku. Di manakah silapnya sehingga pesanan yang berkat itu tidak melekat dalam lubuk hati dan sanubari para jemaah?
Apa beberapa kemungkinan yang dapat disimpulkan. Pertama mungkin hati majoriti umat Islam akhir zaman penuh dengan penyakit. Ia merupakan asbab utama yang melahirkan andaian serta kemungkinan-kemungkinan yang lain. Mana mungkin hati yang berpenyakit mampu merawat hati lain yang juga berpenyakit. Nasihat yang lahir dari mulut hanya mampu sampai kepada pendengaran telinga sahaja. Itu pun kalau pendengarnya tidak tertidur atau asyik dengan perkara lain. Takwa adalah kemuliaan dan asas penerimaan setiap amal dan ibadah yang kita laksanakan berdasarkan fimanNya surah al-Maidah ayat 27 mafhumnya : Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang-orang yang bertakwa. Lantaran itu ia tidak mungkin bersebati dalam jiwa yang dibiarkan terus bergelumbang dengan maksiat dan penderhakaan kepada Allah swt. Langkah awal untuk meraih sifat takwa bermula dengan penyucian jiwa melalui taubat nasuha. Ia lahir dari jiwa seorang hamba yang menginsafi kealpaan diri dalam melaksanakan perhambaan kepada Yang Maha Kuasa.
Hilangnya kesediaan untuk menerima ilmu dan beramal dengannya adalah sebahagian daripada kesan penyakit hati yang tidak diubati. Kesempatan ini dipergunakan oleh makhluk yang bernama syaitan untuk menjarakkan kita dari hidup berpandukan petunjuk. Tanpa kefahaman yang tepat kepada Islam yang menjadi pegangan hidup menyebabkan kita hilang banyak kebaikan dalam hidup. Sudah tentulah kebaikan utama yang juga hilang dari kita ialah keredaan Allah swt yang menjadi buruan dan impian terbesar setiap insan mukmin. Kesibukan dengan urusan duniawi yang tidak pernah berkurangan turut menjadi penghalang untuk kita berfikir dan merenung tentang bekalan yang sepatutnya disediakan untuk hari pertemuan dengan Allah azzawajalla. Keadaan ini amat berbeza dengan suasana umat Islam yang hidup pada kurun terbaik. Kesibukan urusan dunia tidak menghalang mereka untuk mengingati Allah swt dan menyediakan bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi. Tindakan mereka telah dirakamkan oleh Allah melalui seperti mana firmanNya dalam surah an-Nur ayat 37 mafhumnya : laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.
Sesungguhnya kebimbangan terpengaruhnya umat akhir zaman dengan perlumbaan mengejar kemewahan dunia telah disuarakan oleh Rasulullah saw semenjak seribu empat ratus tahun yang lampau seperti mana mafhum sabdanya : Demi Allah bukanlah kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan kepada kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana mereka telah berlumba-lumba, lantaran itu kamu menjadi binasa sebagaimana mereka telah dibinasakan (Riwayat Bukhari). Apa yang telah diperingatkan oleh Rasulullah saw memang sedang berlaku dalam masyarakat Islam. Perlumbaan mengejar kebendaan telah menyebabkan umat Islam hilang identiti diri. Kita kini dibelengu oleh penyakit cintakan dunia dan takutkan kematian. Padahnya kita hilang maruah diri, tiada pendirian dan menjadi ratahan bangsa dan umat lain.