Saturday 14 May 2011

Tidurnya Nyenyak Hingga Subuh. Kenapa ?

Satu fenomena yang diperhatikan di beberapa tempat yang pernah dikunjungi ialah kekurangan yang ketara kepada bilangan jemaah pada waktu subuh pagi Sabtu dan Ahad. Kalaulah pada hari-hari bekerja bilangan jemaah satu hingga dua saf tetapi pagi Sabtu hanya separuh sahaja dari jumlah tersebut. Yang lebih anehnya kehadiran pada subuh pagi Jumaat adalah sangat memberangsangkan walaupun imam membaca surah yang agak panjang. Tujuannya untuk sujud sejadah. Maka digaghi diri untuk datang berjemaah walaupun terpaksa berdiri dalam tempoh masa yang agak lama. Tepatkah tujuan tersebut?

Mengikut perkiraan dan logik akal kehadiran jemaah pagi Sabtu dan Ahad sepatutnya lebih ramai jika dibandingkan dengan hari-hari bekerja. Ini kerana pagi cuti hujung minggu kita tidak diganggu oleh persiapan untuk ke tempat kerja. Tetapi apa yang berlaku dalam realiti kehidupan adalah sebaliknya. Bilangan yang hadir sangat menyedihkan dan terdiri daripada yang sudah berumur dan lanjut usianya. Pemuda dan remajanya hampir tidak kelihatan. Pupus sudahkah mereka ini?

Persoalan yang perlu kita lontar ke dalam jiwa sebagai insan mukmin muslim ialah : Apakah bangkitnya kita dari tidur diawal pagi pada hari-hari tersebut untuk menunaikan solat di awal waktu ataupun kerana ianya hari bekerja. Kalau jawapannya kerana kefarduan solat subuh mengapakah hal seperti ini tidak berlaku pada hari-hari cuti. Sama-samalah kita muhasabahkan realiti ini.

Mungkin kita mempunyai pelbagai alasan di antaranya tidur lewat malam, tak tersedar dan … Cari dan rekalah apa alasan untuk menenangkan nafsu lawwamah yang ada dalam lubuk hati kita dan membenarkan kecuaian diri sendiri. Berlakunya kecuaian dalam hidup apabila kita tidak mendidik diri untuk berdisiplin. Dalam hal mencari habuan keduniaan tidak dinafikan kita penuh berdisiplin. Bangkitnya kita di awal pagi membuat persediaan supaya tidak terlewat sampai ke tempat kerja adalah bukti kita adalah orang yang berdisiplin. Kita yakin tanpa disiplin kita akan kehilangan banyak perkara dalam hidup ini. Akibat kurang berdisiplin kita mungkin tidak berpeluang naik pangkat, mendapat nilaian prestasi yang rendah dan sebagainya.

Kehidupan ini akan menjadi seimbang sekiranya disiplin dalam hal duniawi dapat diterjemahkan ketika menyediakan bekalan untuk kehidupan selepas mati. Sudah pasti pelbagai kelebihan yang Allah sediakan kepada kita sebagai seorang mukmin tidak terluput begitu sahaja. Bukankah dengan mendisiplinkan diri sentiasa solat berjemaah Isyak dan Subuh kita dijanjikan ganjaran hebat diluar jangkaan manusia biasa. Nilaiannya adalah umpama mendirikan solat sepanjang malam sebagaimana mafhum sabda Rasulullah saw : “ Sesiapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat separuh malam. Dan Sesiapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh.” (HR Muslim).

Kepincangan yang sedang melanda kehidupan kita adalah kerana hilangnya disiplin diri dan bertindak tidak mengikut perancangan. Penghayatan terhadap falsafah solat fardu yang didirikan lima kali sehari semalam boleh melahirkan insan yang berdisiplin. Ketepatan waktu, penunaian janji, kejujuran dan fokus dalam pekerjaan adalah sebahagian daripada didikan yang tersirat dalam ibadah solat. Maha benarlah Firman Allah ayat 45 Surah Al-Angkabut yang mafhumnya : “ Bacalah apa yang Telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. dan Sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Sunday 8 May 2011

Sukarnya Menjaga Hati

Pagi ini diri yang kerdil ini masih diberi kesempatan olehNya untuk bersama jemaah Masjid Al-Falah Pengkalan Tambang. Seperti kebiasaan selepas solat subuh pagi Ahad kedua dan keempat saya akan menggunakan kesempatan tersebut untuk menyampaikan sedikit santapan rohani sebagai peringatan untuk diri sendiri dan juga para jemaah. Mukaddimah kepada bicara ringkas hampir satu jam berkaitan dengan kepentingan menjaga hati. Alangkah sukarnya untuk memastikan segala tindakan kita bebas dari desakan duniawi dan runtunan hawa nafsu. Sungguh bermakna hidup seorang mukmin sekiranya segala perancangan dan kerja buatnya adalah berpunca daripada desakan keimanan. Beruntunglah mereka yang sentiasa membersihkan jiwanya dan pulang ke pangkuan Tuhan dengan hati yang sejahtera.

Kita kadang-kadang terlupa dengan perangkap licik musuh yang bernama syaitan. Bukan itu sahaja, kita juga lupa bahawa syaitan adalah musuh kita dulu, kini dan selama-lamanya. Bukti terperangkapnya kita dengan godaan syaitan ialah lahirnya perasaan tidak kisah dengan perkara sunat dan makruh. Kita sering kali membisikkan kepada diri sendiri ‘sunat sahaja’ atau ‘makruh sahaja’ untuk membersihkan diri di atas tindakan kita yang tidak bersuluhkan hidayah dan pengajaran Ilahi. Kalaulah perkara sunat dan makruh tidak mempunyai nilaian di sisiNya sudah tentu akan ada hanya hukum wajib dan haram sahaja. Alasan hukumnya sunat atau fardu kifayah sahaja umpamanya untuk tidak menunaikan solat berjemaah di masjid walaupun tinggal bersebelahan adalah sebahagian daripada tanda terpengaruh dengan tipu daya iblis. Ini kerana perancangan iblis dan tenteranya walau apa pun bentuk dan rupa paras ialah untuk menjauhkan keturunan Adam dari memperoleh rahmat dan reda Allah swt. Bukankah rahmat dan reda Allah itu akan kita capai melalui amalan dan perlakuan yang disukai olehNya. Tidakkah perkara sunat itu adalah peninggalan Nabi kita Muhammad saw manusia pilihan Allah, kekasih dan utusanNya?

Dalam hubungan sesama manusia, kita sentiasa berusaha untuk memberi kegembiraan kepada orang yang kita sayangi. Kita sanggup meredah hutan belantara demi memenuhi hajat rakan taulan dan orang yang kita sayangi. Kesanggupan untuk memenuhi dan menghadiri jemputan kenduri sanak saudara dan rakan taulan walaupun kadang-kadang jaraknya mengharuskan jama’ dan qasar solat bukan semata-mata untuk menikmati jamuan yang disediakan. Nilai sepinggan nasi adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan pengorbanan masa, tenaga dan petrol untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kesanggupan kita untuk memenuhi hajat empunya jemputan sudah pasti akan mengembirakannya. Kalaulah begitu keadaan kita dengan sesama manusia, bagaimana pula dengan pelaksanaan amalan sunat yang diwarisi dari Rasulullah saw. Tidakkah kita pernah membaca firman Allah dalam sebuah hadis kudsi yang mafhumnya : Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Maka apabila Aku telah mencintainya, adalah Aku-lah yang menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya dan ... (Riwayat Imam Bukhari)

Tercetusnya sangkaan buruk terhadap orang lain juga sebahagian daripada tanda terpedayanya kita dengan bisikan iblis. Merasakan diri lebih berbanding orang lain adalah warisan iblis yang tidak sepatutnya bersarang dalam lubuk hati keturunan Adam. Orang yang dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan adalah kelompok manusia yang lebih terdedah kepada tipu daya ini. Pun begitu manusia biasa yang tak punyai kelebihan juga tidak terkecuali dari serangan wabak ini. Kita adalah makhluk yang lemah dan tidak punyai kekuatan hakiki. Apa yang kita miliki adalah anugerah Allah pemilik sekalian alam. Kerana itulah kita disarankan supaya memperbanyakkan sebutan ‘ La haula wala quwwata illa billah’ mafhumnya : Tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (Iradat dan Kudrat) Allah s.w.t. Kelicikan tipu daya dan perancangan musuh yang bernama syaitan serta lemahnya kudrat yang kita miliki menuntut kita agar sentiasa bermuhasabah bagi memastikan perjalanan hidup seharian tidak terpesong dari landasan yang sebenar.

Keikhlasan adalah benteng penyelamat dari terpedaya dengan pujuk rayu syaitan sebagaimana mafhumnya firmanNya dalam surah Assafat ayat 39-40 : Iblis berkata " Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikanmereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semua kecuali hamba-hamba mu yang ikhlas". Sifat ikhlas tidak lahir melalui bicara mulut dan ungkapan lidah yang tidak bertulang. Ianya diperolehi melalui mujahadah yang berterusan tanpa nokhtah dan perhentian tertentu kecuali mati.