Pagi ini diri yang kerdil ini masih diberi kesempatan olehNya untuk bersama jemaah Masjid Al-Falah Pengkalan Tambang. Seperti kebiasaan selepas solat subuh pagi Ahad kedua dan keempat saya akan menggunakan kesempatan tersebut untuk menyampaikan sedikit santapan rohani sebagai peringatan untuk diri sendiri dan juga para jemaah. Mukaddimah kepada bicara ringkas hampir satu jam berkaitan dengan kepentingan menjaga hati. Alangkah sukarnya untuk memastikan segala tindakan kita bebas dari desakan duniawi dan runtunan hawa nafsu. Sungguh bermakna hidup seorang mukmin sekiranya segala perancangan dan kerja buatnya adalah berpunca daripada desakan keimanan. Beruntunglah mereka yang sentiasa membersihkan jiwanya dan pulang ke pangkuan Tuhan dengan hati yang sejahtera.
Kita kadang-kadang terlupa dengan perangkap licik musuh yang bernama syaitan. Bukan itu sahaja, kita juga lupa bahawa syaitan adalah musuh kita dulu, kini dan selama-lamanya. Bukti terperangkapnya kita dengan godaan syaitan ialah lahirnya perasaan tidak kisah dengan perkara sunat dan makruh. Kita sering kali membisikkan kepada diri sendiri ‘sunat sahaja’ atau ‘makruh sahaja’ untuk membersihkan diri di atas tindakan kita yang tidak bersuluhkan hidayah dan pengajaran Ilahi. Kalaulah perkara sunat dan makruh tidak mempunyai nilaian di sisiNya sudah tentu akan ada hanya hukum wajib dan haram sahaja. Alasan hukumnya sunat atau fardu kifayah sahaja umpamanya untuk tidak menunaikan solat berjemaah di masjid walaupun tinggal bersebelahan adalah sebahagian daripada tanda terpengaruh dengan tipu daya iblis. Ini kerana perancangan iblis dan tenteranya walau apa pun bentuk dan rupa paras ialah untuk menjauhkan keturunan Adam dari memperoleh rahmat dan reda Allah swt. Bukankah rahmat dan reda Allah itu akan kita capai melalui amalan dan perlakuan yang disukai olehNya. Tidakkah perkara sunat itu adalah peninggalan Nabi kita Muhammad saw manusia pilihan Allah, kekasih dan utusanNya?
Dalam hubungan sesama manusia, kita sentiasa berusaha untuk memberi kegembiraan kepada orang yang kita sayangi. Kita sanggup meredah hutan belantara demi memenuhi hajat rakan taulan dan orang yang kita sayangi. Kesanggupan untuk memenuhi dan menghadiri jemputan kenduri sanak saudara dan rakan taulan walaupun kadang-kadang jaraknya mengharuskan jama’ dan qasar solat bukan semata-mata untuk menikmati jamuan yang disediakan. Nilai sepinggan nasi adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan pengorbanan masa, tenaga dan petrol untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kesanggupan kita untuk memenuhi hajat empunya jemputan sudah pasti akan mengembirakannya. Kalaulah begitu keadaan kita dengan sesama manusia, bagaimana pula dengan pelaksanaan amalan sunat yang diwarisi dari Rasulullah saw. Tidakkah kita pernah membaca firman Allah dalam sebuah hadis kudsi yang mafhumnya : Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Maka apabila Aku telah mencintainya, adalah Aku-lah yang menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya dan ... (Riwayat Imam Bukhari)
Tercetusnya sangkaan buruk terhadap orang lain juga sebahagian daripada tanda terpedayanya kita dengan bisikan iblis. Merasakan diri lebih berbanding orang lain adalah warisan iblis yang tidak sepatutnya bersarang dalam lubuk hati keturunan Adam. Orang yang dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan adalah kelompok manusia yang lebih terdedah kepada tipu daya ini. Pun begitu manusia biasa yang tak punyai kelebihan juga tidak terkecuali dari serangan wabak ini. Kita adalah makhluk yang lemah dan tidak punyai kekuatan hakiki. Apa yang kita miliki adalah anugerah Allah pemilik sekalian alam. Kerana itulah kita disarankan supaya memperbanyakkan sebutan ‘ La haula wala quwwata illa billah’ mafhumnya : Tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (Iradat dan Kudrat) Allah s.w.t. Kelicikan tipu daya dan perancangan musuh yang bernama syaitan serta lemahnya kudrat yang kita miliki menuntut kita agar sentiasa bermuhasabah bagi memastikan perjalanan hidup seharian tidak terpesong dari landasan yang sebenar.
Keikhlasan adalah benteng penyelamat dari terpedaya dengan pujuk rayu syaitan sebagaimana mafhumnya firmanNya dalam surah Assafat ayat 39-40 : Iblis berkata " Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikanmereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semua kecuali hamba-hamba mu yang ikhlas". Sifat ikhlas tidak lahir melalui bicara mulut dan ungkapan lidah yang tidak bertulang. Ianya diperolehi melalui mujahadah yang berterusan tanpa nokhtah dan perhentian tertentu kecuali mati.
No comments:
Post a Comment