Saturday, 30 April 2011

Bertindaklah Atas Dasar Ilmu

Di antara peristiwa yang mendapat liputan akhbar arus perdana dan disiarkan di halaman muka depan media cetak ialah sumpah laknat yang dilakukan oleh *** di Masjid Amru Al-As bagi membuktikan kebenaran tuduhan perlakuan maksiat zina oleh ***. Tindakan seperti ini sepatutnya tidak mendapat liputan yang meluas kerana tiada sedikit pun kebaikan di sisi Allah swt. Dalam keyakinan seseorang muslim nilaian kebaikan di sisinya akan mereka peroleh apabila tindakan yang dilakukan berpunca daripada suluhan keimanan dan pengajaran yang terkandung dalam ajaran Islam.

Dalam Islam setiap kesalahan yang dilakukan oleh manusia ada undang-undang dan ketetapan tersendiri. Islam tidak sekali-kali membenarkan kita mengambil penyelesaiannya untuk membersihkan diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak berpunca daripada pengajarannya. Tindakan mendedahkan keaiban seorang muslim kepada khalayak ramai sangat dibenci oleh Islam. Ia menjadi semakin tercela apabila perkara tersebut berbentuk pendustaan semata-mata. Perbuatan sebegini mungkin termasuk dalam hukum sama ada “ghibah” atau fitnah yang sangat dicela oleh ajaran Islam.

Setiap tindakan yang kita lakukan sebenarnya mempunyai implikasi tersendiri sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain. Lantaran itu Islam menuntut kita untuk memastikan setiap perlakuan adalah bersumberkan kepada suluhan iman dan ilmu pengetahuan. Tujuannya supaya tidak berlaku kemudaratan yang mungkin mengena diri sendiri dan juga orang lain. Penghayatan terhadap falsafah perintah “ Iqra Bismirabbik ” dan kefarduan menuntut ilmu sangat penting untuk kesejahteraan manusia sejagat. Alangkah harmoninya hidup umat ini sekiranya mereka menyedari keperluan memahami falsafah ini dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sudah tentu perjalanan bahtera kehidupan tidak terpesong dari matlamat asal penciptaan mereka.

Islam sangat benci kepada kejahilan kerana ia penyebab hidup manusia terpesong dari ajaran agama yang mengundang seribu macam masalah dalam kehidupan. Kecelaruan yang sedang menimpa umat manusia dan secara khususnya umat Islam adalah berpunca dari tindakan yang tidak bersumberkan kepada suluhan agama. Kalaulah seseorang itu benar-benar mengerti implikasi menuduh seseorang berzina umpamanya tanpa mengemukakan empat orang saksi sudah tentu dia tidak akan sanggup melakukannya walau apa pun alasannya. Pertuduhan tersebut tidak boleh dibuktikan kebenarannya semata-mata melalui sumpah laknat atau “ mubahalah “. Kebenaran akan terbukti dan mempunyai nilai apabila melalui jalan yang telah di gariskan oleh agama Islam yang suci ini. Maka bertindaklah berdasarkan kepada ilmu pengetahuan kerana ia adalah sebahagian daripada perjuangan Rasulullah saw yang telah teruskan oleh pengikut-pengikut baginda sepanjang zaman.

Monday, 25 April 2011

Syammail Muhammadiah Sudahkah Kita Mempelajarinya?

Telah menjadi sebahagian daripada rutin pagi Ahad setiap dua minggu sekali setelah selesai solat subuh di Masjid Al-Falah, saya akan berbicara bersama dengan ibu-ibu dan bapa-bapa yang menjadi sebahagian daripada ahli jemaah tetap, satu dua hadis Rasulullah saw. Biasanya saya akan memetik hadis-hadis ringkas yang berkaitan dengan kehidupan sebagai seorang mukmin muslim untuk dijadikan pedoman dalam mengatur perjalanan hidup seharian. Dalam kuliah terakhir dua minggu yang lalu saya telah menyuarakan kepada mereka cadangan untuk menjadikan bacaan Kitab Syamail Muhammadiah sebagai bahan perbincangan pada kuliah yang akan datang. Alhamdulillah saya mendapat reaksi positif daripada mereka.

Pagi ini merupakan kuliah pertama membaca Kitab Syamail Muhammadiah karangan Imam at-Tirmidzi. Kesempatan selama satu jam telah saya gunakan untuk berbicara dengan para jemaah kepentingan mempelajari Syamail Muhammadiah. Ia bukan semata-mata untuk merasai kagum dengan keindahan peribadi Rasulullah saw tetapi lebih jauh daripada itu. Semakin kita mengenali peribadi Rasulullah saw akan semakin bertambahlah keimanan dan kecintaan kepada baginda saw. Ini kerana mengenali Rasulullah saw adalah sebahagian daripada tuntutan keimanan. Berapa ramai manusia yang pada mulanya memusuhi Rasulullah saw kerana semata-mata mendengar perkhabaran buruk yang sampai kepada telinga mereka berubah pendirian setelah mengenali baginda saw secara dekat.

Sesungguhnya para sahabat adalah kelompok manusia yang sangat mencintai Rasulullah saw. Lantaran kecintaan mereka yang sangat mendalam terhadap Rasulullah saw maka sampailah kepada kita hadis-hadis secara khusus membicarakan tentang sifat batang tubuh dan keperibadian baginda saw. Tujuan adalah supaya terpupuk dalam lubuk hati kita yang datang selepas mereka perasaan kasih dan sayang kepada Rasulullah saw sebagaimana kasih dan sayang mereka kepada Rasulullah saw. Bayangkan bagaimana seorang sahabat yang datang bertanyakan Rasulullah saw tentang bilakah akan berlakunya kiamat dan apabila ditanya apakah bekalan yang telah disediakan untuk menghadapinya. Lantas dengan penuh yakin dia menjawab tiada bekalan yang banyak melainkan perasaan kasih dan sayang kepada Allah dan RasulNya saw. Lantaran itu Rasulullah saw menjawab : Kamu akan dibangkitkan bersama siapa yang kamu kasih.

Faktor tidak mengenali keperibadian Rasulullah saw sebagaimana para sahabat mengenali baginda saw antara penghalang untuk umat Islam meletakkan kecintaan mereka kepada Rasulullah saw melebihi segala-galanya. Hasilnya kesungguhan untuk beramal dengan setiap pedoman yang ditinggalkan baginda saw berada pada tahap yang sangat minimum. Berapa ramaikah yang menjadi jiran kepada masjid dan surau punyai kesanggupan untuk melazimkan diri untuk solat berjemaah di sana. Berapa ramaikah umat Islam yang melintasi rumah-rumah Allah ketika dilaungkan seruan “ marilah menunaikan solat, marilah menuju kejayaan sanggup memberhentikan kenderaan mereka bagi menyahut seruan tersebut. Kita tidak perlu kepada pakar dalam bidang matematik dan perakaunan untuk menghitung bilangannya bukan. Itulah realiti tahap pengorbanan umat di zaman mutakhir.

Kalaulah dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam yang tidak memerlukan pengorbanan yang besar kesanggupannya berada pada tahap yang sangat minimum, bagaimana pula dengan usaha menegakkan syiar yang menuntut pengorbanan darah dan nyawa? Salah satu jalan keluar terhadap kemelut yang sedang menimpa kita sekarang ialah dengan kembali memupuk perasaan cinta dan sayang kepada Rasulullah saw ke dalam jiwa kita melalui pengenalan yang sejati kepada baginda saw sebagaimana para sahabat mengenalinya. Sebagai permulaannya marilah kita nilai tahap pengenalan kita terhadap Rasulullah saw. Lakarkan skala 1-10. Di tahap manakah kita?.