Saturday, 27 February 2010

Maulidur Rasul : Apakah Asas Sambutannya ?

Hari ini 12 Rabiul Awwal dan mengikut sesetengah riwayat ianya adalah hari lahir Rasulullah SAW. Hampir seluruh dunia Islam merayakan hari kelahiran baginda saw dengan menganjurkan pelbagai program walaupun wujud pertikaian tentang keharusannya. Tidak kurang juga negara yang menjadikan 12 Rabiul Awwa sebagai cuti umum. Alasanya mudah sahaja, inilah kesempatan terbaik untuk mengembalikan ingatan generasi muda khususnya kepada Rasulullah saw. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : " Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya". Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah s.a.w bersabda : " Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih kamu cintai daripada diri kamu sendiri ".

Saya yakin berdasarkan kepada hadis inilah, mereka yang punyai iman tercari-cari cara terbaik untuk mengingatkan kembali Umat Islam khususnya golongan muda agar kembali mencintai Nabi saw. Kehidupan di zaman tamaddun kebendaan yang jauh dari cahaya Iman membuatkan ramai umat Islam lupa kepada Rasulullah saw, perjuangan dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam. Oleh itu pada hemah saya Maulidur Rasul yang saban tahun dirayakan oleh umat Islam bukanlah satu ibadah tambahan. Ianya adalah kesempatan yang dimanfaatkan untuk mengingati kembali nikmat kelahiran insan mulia yang bernama Muhammad saw yang menjadi pembimbing kita keluar dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam.

Sesungguhnya kisah hidup Rasulullah saw adalah sumber kehidupan dunia Islam dan kebahagiaan manusia seluruhnya. Menurut Dr. Sa'id Ramadhan Al-Buti di dalam kitabnya Fiqh Sirah bahawa hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam kehidupan Rasulullah itu sendiri . Sekiranya kita ingin mencari sebuah kehidupan terbaik yang bersifat universal, kesemuanya terkumpul di dalam kehidupan nabi kita Muhammad saw sepertimana mafhum firman Allah dalam surah Al-Azab ayat 21 : " Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang terbaik untuk (menjadi ikutan) kamu."

Bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w adalah kawajipan kita semua. Namun apa yang kita mesti pastikan selepas saban tahun kita merayakan sambutan ini apakah jiwa dan tatacara kehidupan kita bertambah dekat dengan cara baginda?

No comments:

Post a Comment