Assalamualaikum dan salam Ramadhan diucapkan kepada pelayar yang sudi menjenguk
blog coretan seorang pendidik. Sudah setahun blog ini tidak dikemaskini dengan
sebarang coretan baru. Alhamdulillah, pagi ini 13 Ramadhan 1433H saya
dianugerahi sedikit kekuatan oleh Yang Maha Kuasa untuk mencoret sepatah dua
kata untuk renungan kita bersama. Alangkah cepatnya masa berlalu meninggalkan
kita semua. Ramadhan yang kita sambut permulaannya pada hari sabtu yang lepas sudah
menghampiri pertengahannya. Bagaimana pengisian yang telah kita lakukan selama tempoh
selama 12 hari yang telah dilalui. Apakah muhasabah yang dilakukan sebelum
Ramadhan kunjung tiba mampu merubah sikap dan tindakan kita? Apakah sepanjang tempoh tersebut telah berlaku
peningkatan tahap penghayatan kita terhadap Ramadhan? Ataupun masih sama seperti
tahun-tahun yang telah berlalu atau semakin berkurangan? Kesemua persoalan
tersebut kita lah yang dapat memberi jawapan yang tepat. Orang lain hanya dapat
membuat andaian sahaja berdasarkan pengamatan yang dilakukannya.
Kemeriahan
masyarakat Islam menyambut awal Ramadhan begitu terserlah sekali. Sebaik sahaja
selesai menunaikan solat fardu maghrib, kita dapati masyarakat setempat mula mengatur
langkah mereka menuju ke rumah-rumah Allah swt.. Setiap ruang kosong mula
dipenuhi para jemaah sebelum laungan azan solat fardu ‘Isyak berkumandang melalui corong-corong pembesar suara di menara-menara masjid. Kebanjiran
para jemaah untuk menunaikan solat ‘Isyak dan solat sunat tarawih sehingga
melimpah keluar dewan solat sungguh mengkagunkan. Sungguh indah suasana yang
kita saksikan pada permulaan setiap kali Ramadhan tiba. Kini Ramadhan memasuki
harinya yang ke 13. Apakah suasana kemeriahan yang kita saksikan pada permulaan
Ramadhan masih lagi berterusan?
Berdasarkan pengamatan insan kerdil seperti
saya, semangat yang ditunjukkan oleh umat Islam ketika menyambut ketibaan bulan
yang penuh dengan kemuliaan ini sudah semakin luntur. Bilangan jamaah yang
hadir semakin susut walaupun masih belum kembali kepada keadaan asal sebelum
Ramadhan. Apakah kepenatan sudah kita rasai dan mula mengalah kepada runtunan
hawa nafsu yang mahukan rehat yang
mencukupi setelah perut dipenuhi dengan pelbagai jenis juadah yang disajikan semasa
berbuka? Berdasarkan pengalaman saya, untuk menghilangkan dahaga disebabakan
tidak minum sepanjang hari kita hanya perlu kepada satu ataupun dua gelas air
sahaja. Begitu juga dengan rasa lapar dapat dihilangkan dengan tiga ke empat
suapan makanan sahaja. Apabila kita mengambil lebih dari keperluan yang
septutnya, kita mula rasa penat dan tidak terdaya untuk melakukan kewajipan
yang lain.
Dengan
pelbagai kebaikan dan rahmat yang Allah sediakan untuk kita sepanjang Ramadhan,
ia merupakan kesempatan yang terbaik untuk kita kembali kepada persaingan yang
sebenar iaitu untuk mendapat keampunan dan keredaan dari Yang Maha Kuasa. Sebagai
seorang muslim kita telah dimotivasikan oleh banyak sabdaan Rasulullah saw agar
merebut pelung keemasaan ini. Kita sering diperingakan oleh para ustaz dan
penceramah dengan sabdaan baginda saw tentang kelebihan bulan Ramadhan yang
penuh keberkatan ini. Di antaranya sabdaan Baginda saw yang lebih kurang mafhumnya : Bila tibanya
bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan
dibelenggu para syaitan. Riwayat Bukhari (1899) dan Muslim (1079).
Dalam
keadaan peluang untuk kembali menjadi
hamba yang patuh kepada pencipta yang maha agung terbuka luas dan ruang untuk
melakukan penderhakaan tertutup rapat, inilah peluang terbaik untuk kita
berubah kembali kepada fitrah asal mengakui kutuhanan Allah dan kemutlakan
patuh kepada apa sahaja perintah yang datang dariNya. Masih adakah kesempatan
lain yang lebih baik untuk kita lakukan perubahan dalam diri melebihi
kesempatan Ramadhan? Sesungguhnya pertarungan untuk berubah sekarang berlaku diantara
nafsu dan keimanan sahaja. Kalaulah dalam keadaan nafsu tanpa bantuan
syaitan dan ditekan pula dengan berlapar
dan dahaga disiang hari, kita masih tidak mampu untuk berubah bilakah lagi agaknya
masa yang paling sesuai.