Sementara menunggu isteri menyiapkan sarapan pagi, saya menggunakan kesempatan pagi ini untuk membaca beberapa helaian kitab “ Al-Azkar ” karangan Imam Nawawi ra. Ia merupakan salah satu karya beliau yang membicarakan tentang zikir serta amalan dalam kehidupan seharian kita. Kitab ini sungguh bermakna untuk umat Islam terutamanya kita yang hidup pada zaman kebendaan menguasai kehidupan. Susunan hadis-hadis sahih berkaitan amalan serta zikir memberi sinaran dan pedoman yang menyuluh kehidupan kita sebagai hamba Allah.
Wirid dan zikir harian adalah amalan yang menjernih dan mententeramkan hati. Ini kerana hati seorang mukmin dalam perjalanannya menuju keredaan Allah swt terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Keupayaannya untuk kekal dalam keadaan yang mendapat keredaan Allah bergantung pada kekuatan hati untuk bertindak menentang tuntutan jasad dan nafsu yang diharamkan ke atasnya. Terpengaruhnya hati dengan desakan ini menyebabkan kita terjatuh ke dalam perangkap Iblis yang bahayanya sentiasa diperingatkan oleh Allah swt. Akibatnya terbentuklah satu titik hitam pada hati yang mengeruhkan kejernihannya. Apabila kejernihan hati menjadi semakin pudar, padah yang terpaksa ditanggung oleh kita ialah terhijabnya roh dari mengenal Allah swt dalam erti kata yang sebenar.
Kehidupan dalam persekitaran yang bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan seperti yang sedang kita alami hari ini sangat memerlukan kepada amalan dan zikir yang menjernihkan kembali hati dan sanubari. Kealpaan menguruskan hati agar sentiasa punyai hubungan dengan Pencipta Yang Maha Kuasa melalui wirid dan zikir harian ini mewujudkan hijab ke atas diri. Lantaran itulah kita dapati di antara tujuan pengajaran yang terkandung didalam ajaran Islam adalah untuk melaksanakan pembersihan secara berterusan ke atas hati, roh dan juga jasad manusia. Kenyataan ini dapat kita sarikan melalui firman Allah dalam surah al-Jumuah ayat 2 mafhumnya : Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.
Seorang hamba yang ingin sampai ke tahap kesempurnaan dalam ubudiyah dan perhambaan kepada Penciptanya mestilah melaksanakan pembersihan secara berterusan terhadap hatinya menerusi amalan dan zikir yang telah menjadi amalan Rasulullah saw. Tindakan sedemikian akan menjadikan hatinya sentiasa disinari cahaya makrifat yang akan menerangi setiap langkah yang diaturnya. Kealpaan kita dalam melaksanakan rawatan hati secara berterusan agar terus bersinar dan bercahaya bermakna sengaja mendedahkan diri kepada bahaya.
Seseorang yang mempunyai wirid harian seperti yang telah diamalkan oleh Rasulullah saw akan mudah sedar apabila melakukan kesalahan dan segera bertaubat apabila tergelincir. Kepelbagaiannya pula seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih himpunan Imam Nawawi dapat menghilangkan kejemuan yang mudah timbul dalam diri manusia. Sesungguhnya penelitian dan pembacaan kitab “ Al-Azkar ” secara berterusan merupakan bekalan yang membantu kita untuk mencapai tujuan tersebut. Kajian dan usaha yang disumbangkan oleh Imam Nawawi ini amat bermakna untuk kita semua amati dalam mencari kesempurnaan ketika melaksanakan ibadah seharian.