Monday, 16 November 2009

Restu Guru : Apa matlamatnya ?

Pagi tadi selepas perhimpunan rasmi, majlis "Mohon Restu Guru" telah berlansung. Tujuan program ini adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar tingkatan 5 memohon maaf dan meminta restu sempena peperiksaan SPM yang akan bermula hari rabu ini. Ianya merupakan tradisi tahunan yang berjalan di SMK Permatang Tok Jaya dan juga sekolah-sekolah lain. Setiap kali hampir dengan peperiksaan kesemua pelajar yang akan menghadapi peperiksaan akan beratur untuk bersalaman dengan para guru memohon kemaafaan diatas segala salah dan silap sebelum menduduki peperiksaan. Mereka juga menjadikan kesempatan tersebut untuk meminta halal segala ilmu dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh para guru kepada mereka. Pelbagai reaksi dan ragam pelajar dapat dilihat. Ada yang menangis, sedih dan sebagainya.

Tanpa menafikan kebaikan majlis tersebut, persoalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah apa pentingnya restu guru kepada para pelajar? Adakah sekadar untuk lulus peperiksaan atau untuk memdapat keberkatan ilmu yang dipelajari? Jawapan yang mungkin terbayang dipemikiran kita ialah sudah tentu lulus dalam peperiksaan. Bukan sekadar lulus, tetapi cemerlang dengan semua kertas mendapat A1. Asas kepada jawapan ini ialah ianya dilangsungkan sewaktu jarak masa berlangsungnya peperiksaan sangat hampir. Sebab itulah kita melihat penghormatan pelajar kepada guru semakin hari semaki pudar. Berita pelajar bersikap biadap terhadap guru bukan menjadi perkara asing lagi. Sesuatu yang tidak berlaku pada ketika dahulu sedang berlaku sekarang.

Fenomena belajar untuk lulus peperiksaan bukanlah perkara baru dalam masyarakat sekarang. Berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan jumlah buku yang dibaca oleh para pelajar dipelbagai peringkat pengajian sangat rendah. Skop bacaan sangat sempit dan tidak kurang juga yang hanya membaca nota-nota ringkas sahaja. Natijahnya lahirlah golongan terpelajar yang jumud pemikiran dan sempit padangan. Berbangga dengan sekeping sijil dan segulung ijazah tetapi tidak mampu berfungsi dalam masyarakat dengan baik.

Berdasarkan Laporan Tabiat Membaca yang dibuat oleh UNESCO untuk sesi cerapan 1999 menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Begitu juga dapatan kajian profil membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun berbanding jumlah yang jauh lebih besar di negara-negara lain. Purata dua naskhah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam tempoh setahun itu pula adalah termasuk bahan bacaan santai berupa komik, majalah dan akhbar.

Fenomena yang kurang sihat ini mestilah ditangani bersama. Konsep iqra’ seperti yang diturunkan dalam wahyu pertama hendaklah kita garapkan dalam jiwa remaja dan anak-anak. Sebagai golongan terpelajar tunjukkanlah contoh teladan dan ikutan terbaik kepada generasi yang akan datang. Jadikanlah buku sebagai teman kesepian kita.

Sunday, 15 November 2009

Di Antara Dua Persimpangan : Ke Arah Mana Kita ?

Kehidupan manusia pada hakikatnya sentiasa berada di antara dua tarikan. Pertama tarikan keimanan yang melahirkan kesedaran dan perasaan tanggungjawab. Dengan demikian dia akan berada dalam keadaan benar dan selamat. Daya tarikan kedua ialah tarikan Syaitan dengan segala perhiasan dunia dan bisikan yang memperdayakan. Terpengaruh dengannya bererti kesesatan dan kebinasaan. Tiada keselamatan melainkan dengan pertolongan daripada Allah.

Kita hanya memiliki satu kebenaran sahaja iaitu wahyu (al-Quran dan as-Sunnah). Lain daripadanya adalah hawa nafsu yang sesat lagi menyesatkan. Oleh itu menjadi kemestian kepada setiap muslim memuhasabahkan pegangan dan amalan hidup agar seiring dengan kebenaran yang satu ini. Keperluan kepada muhasabah dan renungan terhadap perjalanan hidup seharian bukanlah perkara baru. Ianya telah diterjemahkan oleh Mua’z bin Jabal melalui ungkapannya kepada salah seorang temannya : “ Duduklah bersama-sama kita beriman sebentar ”. Tujuannya sangat jelas iaitu bagi memastikan perjalanan hidup sentiasa bertepatan dengan suluhan petunjuk dan tidak terkeluar daripada batasan syariat Islam.

Tabiat jalan kebenaran penuh dengan cubaan, dugaan dan rintangan. Kerana itulah kita mudah dipengaruhi perasaan lemah dan hilang semangat untuk meneruskan perjalanan pada jalan ini. Lantaran itu ramai yang gugur sebelum sampai ke destinasi yang dituju. Maruah umat Islam akan tetap terpelihara selama mana mereka berada di atas manhaj kenabian ini. Mereka mampu menghadapi gelombang penentangan pihak lawan dengan tenang. Sejarah telah merakamkan bagaimana kekalahan menjadi habuan mereka apabila meninggalkan pegangan yang benar ini. Mereka hilang kekuatan, lesu dan tidak berdaya untuk berdepan dengan serangan yang datang dari dalam dan luar.

Berbanding tarikan keimanan, tarikan hawa nafsu penuh dengan keseronokan dan kesenangan. Golongan yang tidak tidak sabar dan cepat mengalah biasanya terpedaya dengan tawaran keseronokan yang membawa ke lembah kebinasaan. Petanda terpengaruh dengan tarikan ialah meminggirkan al-Quran dan as-Sunnah dari kehidupan. Kalau tidak secara keseluruhan pun, menyempitkan peranan kedua-duanya daripada menjadi pemandu hidup sudah memadai.

Jalan keluar daripada masalah ini hanyalah terletak kepada sejauh mana tigginya nilai keimanan dan pegangan kita kepada kebenaran . Hanya iman yang tinggi dan kefahaman tentang agama yang mendalam sahajalah menjadi penghalang diri kita dari terpengaruh dengan godaan hawa nafsu yang melalaikan.

Thursday, 12 November 2009

Penghujung Sebuah Kehidupan

Kemaafaan dipohon kepada pengunjung yang sudi menjenguk blog ini kerana sudah beberapa hari saya tidak mengemaskinikannya. Ada beberapa sebab yang menghalang saya membuat coretan untuk dikongsi bersama. Pada hari sabtu lepas kira-kira jam 12.30 tgh saya dihubungi ibu saudara di kampung memamklumkan bahawa ayahanda saya dalam keadaan tenat. Semasa dalam perjalanan pulang ke Kelantan kira-kira jam 1.15 petang saya bersama isteri dan anak-anak menerima khabar sedih kembalinya ayahanda kerahmatullah. Pada hari Jumaat malam selepas kuliah di Masjid Pengkalan Tambang, saya menghubungi ayahanda bertanyakan khabar. Jawapan yang cukup mengembirakan, alhamdulillah ayah sihat setelah dua hari diuji dengan sedikit keuzuran. Tengahari sabtu segala-galanya sudah berubah. Ayahanda sudah berada diperhentian pertama dunia seterusnya. Semuanya berlaku dengan cepat dan pantas. Itulah ketentuan Allah SWT dan semoga rohnya ditempatkan bersama arwah para solihin, amin.

Dengan kembalinya ayahanda kerahmatullah tinggalah bonda saya di kampung keseorangan menghabiskan sisa-sisa usia yang masih berbaki. Terasa sangat berat untuk berpisah dengan bonda disaat-saat seperti ini, ditambah pula dengan umur yang semakin meningkat dan keadaannya yang semakin uzur, namun tugasan mendesak saya untuk pulang juga ke Pulau Pinang.

Diantara perkara baik yang boleh saya kongsi dengan para pembaca ialah, pada setiap kali menghubungi ayahanda di kampung, soalan pertama beliau “ Tidak ke masjid kah hari ini ? ” Itulah pesanan yang menjadi sebahagian dari motivasi untuk saya melangkah kaki ke rumah Allah. Kepada bapa-bapa dan ibu-ibu, jadikan pesanan supaya membesarkan Allah SWT sebagai ingatan pertama anda kepada anak-anak. Jangan hanya bertanya pasal makan dan minum sahaja kerana urusan perut jarang dilupai oleh manusia. Muda-mudahan pesanan tersebut menjadi sebahagian dari tindakan yang melayakkan kita semua dirahmati Allah ‘azzajawahalla.

Setiap yang bermula pasti ada penghujungnya dan setiap yang bernyawa penghujungnya ialah kematian. Begitulah lumrah perjalanan kehidupan makhluk ciptaan Allah dibumi yang fana’ ini. Tiada yang kekal abadi kecuali Tuhan yang maha kuasa. Namun hakikat yang pasti ditempuhi setiap insan bernyawa ini seakan-akan dilupai. Perilaku dan gelagat seharian menggambarkan kehidupan yang sedang ditempuhi ini seolah-olah tiada penghujung dan nokhtahnya. Hilai-menghilai dah gelak-ketawa menghiasi setiap saat yang dilalui. Seolah-olah tanpanya hidup ini tiada nilainya. Kurangkanlah sedikit hilai tawa yang melalaikan dan tambahkan sedikit keseriusan dalam hidup.

Golongan yang beriman pasti akan memilih untuk mati dalam keadaan yang mulia dan terhormat. Juga mengharapkan husnulkhatimah sebagai habuan terakhir sebelum berpindah ke perhentian pertama alam akhirat. Diantara tandanya ialah mampu menuturkan kalimatutauhid disaat menghadapi sakaratul maut. Persoalannya apakah persiapan yang telah kita sediakan untuk mati dalam keadaan yang sedemikian. Cukupkah dengan angan-angan dan khayalan tanpa amalan dan tindakan. Berapa ramaikah yang mampu mengakhirkan kalamnya dengan kalimah suci ini ? Inilah diantara beberapa persoalan yang mesti kita lontarkan kedalam diri. Mudah-mudahan kealpaan tidak menguasai perjalanan hidup menuju destinasi seterusnya.

Saturday, 7 November 2009

Dimanakah Nilai Masa Dan Wang Ringgit Anda ?

Pertandingan akhir Piala Malaysia edisi ke-43 menjadi berita utama yang dipaparkan di media-media cetak hari ini. Perlawanan kali ini di antara Kelantan dengan Negeri Sembilan. Dikhabarkan 80,000 tiket dengan harga RM 20 untuk dewasa dan RM 5 untuk kanak-kanak telah habis dijual. Bilangan tersebut dikatakan masih tidak mencukupi untuk peminat yang masih lagi menanti untuk mendapatkannya. Saya juga seorang peminat bola sepak dan pernah menjadi salah seorang pemainnya, tetapi tidak pernah menghabiskan sebanyak itu untuk membeli tiket bagi menyaksikan sesuatu perlawanan. Mungkin juga kedekut atau disana ada alasan tersendiri.

Nilai RM 20 bukanlah besar sangat terutama pada zaman inflasi yang saban tahun semakin meningkat. Ianya menjadi nilai yang sangat kecil kalau dalam hal yang seiring dengan nafsu dan selera kita. Sebaliknya nilai RM 1 pun menjadi besar kalau perkara tersebut membabitkan urusan akhirat. Mungkin anda pernah didatangangi seorang yang memohon sumbangan untuk mewakafkan tanah bagi membina masjid, asrama anak-anak yatim dan yang seumpamanya, apa reaksi anda dan rakan-rakan sekeliling. Pelbagai persoalan ditimbulkan dan aneka jenis alasan dicipta untuk tidak menyumbang. Bahkan tidak kurang pula perasaan syak dan sangkaan buruk bermain di benak fikiran kita. Tidak salah berhati-hati supaya apa yang disumbangkan itu sampai ke tempatnya, tetapi janganlah terlalu berkira sangat.

Tulisan ini bukan berniat untuk menghalang anda berhibur dan bergembira. Hiburan perlu untuk menghilangkan kepenatan bekerja tetapi jangan sampai bersifat keterlaluan. Bayangkan nilai RM 20 kalau disumbangkan kepada saudara-saudara kita di Palestin dan tempat-tempat lain. Tidakkah ringan dan terubat sedikit penderitaan mereka ? Bukankah umat Islam itu bersaudara dan menjadi kewajipan kita untuk turut sama merasai penderitaan saudara seislam yang lain. Mungkin inilah di antara sebab kemenangan belum berpihak kepada kita. Hubungan persaudaraan sesama Islam sangat rapuh. Keindahannya seperti yang dibayangkan oleh Rasulullah SAW dan telah dipraktikan oleh salafunassoleh tidak lagi berpijak di bumi nyata. Bukankah ampuhnya ukhuwah itu sebahagian dari kekuatan Islam?

Kalau kita punyai kesanggupan untuk menghabiskan masa berjam-jam dan wang ringgit bukan sekadar puluhan ringgit bahkan kadang-kadang mencecah ribuan untuk perkara sampingan, mengapakah kita tidak pastikan yang seumpamanya juga kita gunakan untuk persiapan menuju akhirat. Bagi seorang pelajar, paling kurang seimbangkan masa belajar dan ulangkaji anda dengan masa untuk aktiviti lain. Dalam merancang aktiviti dan tindakan, kita diajar oleh Islam mengutamakan yang lebih penting daripada yang penting. Sebab itu kefahaman terhadap Fiqh Aulawiyyat (keutamaan) perlu diberi penekanan terhadap generasi muda Islam. Rancangkanlah agar masa dan wang ringgit anda mempunyai nilai.

Friday, 6 November 2009

Terdidikah Nafsu Anda?

Rabu lepas saya dihubungi Cikgu Zaini Pengerusi Masjid al-Falah Pengkalan Tambang bertanyakan adakah saya punyai kelapangan untuk berkhutbah minggu ini. Disebabkan kesibukan dengan bebanan tugas, mesyuarat dan kursus, saya memohon untuk tidak menyampaikan khutbah pada bulan lepas. Giliran saya pada minggu ketiga telah di isi oleh Cikgu Zaini sendiri. Pagi tadi dalam tercari-cari topik yang nak disampaikan hari ini, saya teringat catatan yang saya posting semalam. Antaranya ialah kecacatan pada diri seorang insan bermula apabila perasaan suka dan reda kepada nafsu mula berputik dalam jiwa. Rasanya lebih elok saya teruskan perbicaraan tersebut dalam khutbah hari ini.

Bicara saya tengahari tadi lebih tertumpu kepada kepentingan mengawal hawa nafsu (kecenderungan) bersandarkan kepada Sabda Rasulullah saw :

لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لما جئت به

mafhumnya : Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.

Berdasarkan kepada peringatan Rasul saw dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-‘As r.a, adalah menjadi satu kemestian bagi setiap daripada kita untuk mengawal segala keinginan dan kecenderungan agar sentiasa seiring dengan apa yang ditinggalkan oleh baginda saw. Natijah daripada pertentangan di antara kecenderungan diri seseorang dengan ketetapan syariat ialah lahirnya perbuatan maksiat, perlakuan bidaah dan penentangan kepada kebenaran. Padahnya ialah hilangnya kesempurnaan iman dan bukti benarnya pengakuan keimanan tersebut.

Lahirnya kecintaan dan kesanggupan untuk menerima dan melaksanakan apa yang disampaikan Baginda SAW adalah tanda benarnya benih keimanan dan adanya kemanisan iman didalam hati. Kecintaan bukan semata-mata ungkapan oleh lidah yang tidak bertulang dan juga bukan slogan-slogan kosong tanpa penghayatan. Benarnya ungkapan cinta dan sejatinya perasaan kasih mesti dizahirkan melalui amalan dan tindakan. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 31 :

قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفرلكم ذنوبكم والله غفور رحيم

mafhumnya : Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Tindakan kita ialah memastikan segala amalan dan kerja buat seharian samada yang berbentuk ibadah khusus mahupun ibadah umum adalah bertepatan dengan sunnah dan jauh dari bidaah. Kerana perjuangan inilah Rasulullah SAW dan para sahabat r.a terpaksa mengharungi onak dan duri, menanggung derita penyiksaan dan penentangan dari golongan kufur dan pembidaah. Yakinlah kemenangan untuk Islam semakin hampir apabila perjuangan kita berpaksikan kepada apa yang kita warisi dari Rasulullah SAW.

Thursday, 5 November 2009

Impian Yang Tersasar

Manusia dari segi tabiat penciptaannya dihiasi dengan sifat sukakan kepada perkara yang menyeronokkan. Wanita, pangkat, kekayaan dan kesenangan hidup adalah sebahagian dari perkara yang diimpikan oleh makhluk yang bernama manusia. Lantaran mengejar keseronokkan dunia, manusia lupa bahawa persinggahan yang mereka alami sekarang hanyalah bersifat sementara sahaja. Bayangan keseronakan hidup di dunia mula memperdayakan minda dan asas pertimbangan mereka. Perlumbaan memburu keseronokan ini telah mendorong manusia untuk bertindak mengikut runtunan hawa nafsu jahat dan mengabaikan sifat serta nalori keinsanannya.

Lihat apa yang sedang berlaku di dalam kehidupan seharian
kita. Perhatikan juga telatah yang ditunjukkan oleh masyarakat sekeliling kita. Apa dilakukan seolah-olah untuk kekal hidup didunia yang fana ini. Berbagai makanan tambahan tanpa mengira kos dan harga di ambil untuk kekal sihat. Bermacam-macam skim perniagaan dan pelaburan diceburi dengan tujuan untuk menjadi kaya. Tidak salah untuk hidup sihat dan berharta kerana Islam tidak pernah melarang umatnya dari nikmat tersebut. Bahkan mukmin yang kuat dan tidak meminta-minta lebih dikasihi oleh Allah SWT daripada mukmin yang lemah dan meminta-minta daripada orang lain.

Yang menjadi persoalannya ialah berapa keratkah daripada kita yang menggunakan kesihatan untuk melaksanakan ubudiyyah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar pengabdian. Berapa ramaikah hartawan dan jutawan muslim yang bersifat pemurah. Perhatikan bilangan muslim yang hadir ke masjid, surau dan juga tempat-tempat pengajian. Ruang kosong tanpa penghuni kelihatan begitu ketara sekali walau dimana kita berada samada di bandar mahupun di desa, di kawasan golongan berharta mahupun golongan miskin, di tempat manusia terpelajar ataupun tidak terpelajar. Bagaimana pula dengan golongan armalah (ibu tunggal) dan anak-anak yatim? Adakah terbela sudah hidup mereka atau terus dirundung malang tanpa pembelaan?

Inilah tabiat kehidupan golongan yang terpedaya dengan dunia. Berhati-hatilah dengan kesenangan yang sedang kita nikmati agar tidak dikuasai nafsu material yang melalaikan. Manusia yang cenderung untuk mencari kesempurnaan akan terdorong untuk memperolehi keinsafan.

Wednesday, 4 November 2009

Selesaikah Pertikaian Di Antara Kita Melalui Dada Akhbar ?

Berita berkaitan dengan peristiwa kontroversi yang berlaku di Selangor dua hari lepas masih belum padam dari dada-dada akhbar tempatan. Pihak yang terlibat berusaha menegakkan pendapat dan pendirian masing-masing. Apakah dengan tindakan demikian akan selesailah pertikaian yang sedang berlaku sekarang? Kita nampaknya sudah jauh terpesong dari landasan dan petunjuk yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Dimanakah ruh ukhuwah dan persaudaraan Islam yang sering kita canang dan warwarkan dalam ceramah dan kuliah-kuliah? Sudah tiadakah ruang untuk bermuzakarah secara berhemaah, jauh dari sifat benci dan buruk sangka?

Tindakan menjadikan akhbar sebagai tempat menegakkan pendirian masing-masing tidak akan membuahkan apa-apa kecuali perbalahan dan perpecahan. Hubungan persaudaraan menjadi semakin renggang dan sifat benci membenci semakin menebal dalam diri. Lupakah kita tiada siapa yang untung dalam hal ini kecuali musuh-musuh. Mereka tersenyum lebar melihat gelagat dan telatah pendokong ajaran Islam yang suci bertelagah sesama sendiri. Sampai bilakah kita akan terus ditertawakan oleh mereka angkara keegoan diri sendiri. Rawatilah dengan sifat tasamuh dan ukhuwah Islamiah. Moga kita semua dirahmati Allah SWT.

Kecacatan pada diri seorang insan bermula apabila perasaan suka dan reda kepada nafsu mula berputik dalam jiwa. Nilai ilmu tidak lagi lagi berfaedah dan mampu mengemudi bahtera kehidupan. Maka muncullah pelbagai bentuk perasaan dan sifat keji yang mencacatkan kejernihan jiwa. Natijahnya, hubungan sesama insan muslim khususnya berlaku dalam bentuk yang tidak murni lagi. Perasaan takbur, ujub dan ghurur mempengaruhi tindakan kerana beranggapan diri sudah sempurna dan sementara orang lain pula memiliki segala kekurangan. Sikap sedemikian tidak membuahkan selaian daripada kehancuran dan kebinasaan. Marilah kembali kemeja muzakarah dengan penuh tatasusila, Insyaallah kejernihan akan kembali mewarnai hubungan sesama kita.