Sunday, 8 May 2011

Sukarnya Menjaga Hati

Pagi ini diri yang kerdil ini masih diberi kesempatan olehNya untuk bersama jemaah Masjid Al-Falah Pengkalan Tambang. Seperti kebiasaan selepas solat subuh pagi Ahad kedua dan keempat saya akan menggunakan kesempatan tersebut untuk menyampaikan sedikit santapan rohani sebagai peringatan untuk diri sendiri dan juga para jemaah. Mukaddimah kepada bicara ringkas hampir satu jam berkaitan dengan kepentingan menjaga hati. Alangkah sukarnya untuk memastikan segala tindakan kita bebas dari desakan duniawi dan runtunan hawa nafsu. Sungguh bermakna hidup seorang mukmin sekiranya segala perancangan dan kerja buatnya adalah berpunca daripada desakan keimanan. Beruntunglah mereka yang sentiasa membersihkan jiwanya dan pulang ke pangkuan Tuhan dengan hati yang sejahtera.

Kita kadang-kadang terlupa dengan perangkap licik musuh yang bernama syaitan. Bukan itu sahaja, kita juga lupa bahawa syaitan adalah musuh kita dulu, kini dan selama-lamanya. Bukti terperangkapnya kita dengan godaan syaitan ialah lahirnya perasaan tidak kisah dengan perkara sunat dan makruh. Kita sering kali membisikkan kepada diri sendiri ‘sunat sahaja’ atau ‘makruh sahaja’ untuk membersihkan diri di atas tindakan kita yang tidak bersuluhkan hidayah dan pengajaran Ilahi. Kalaulah perkara sunat dan makruh tidak mempunyai nilaian di sisiNya sudah tentu akan ada hanya hukum wajib dan haram sahaja. Alasan hukumnya sunat atau fardu kifayah sahaja umpamanya untuk tidak menunaikan solat berjemaah di masjid walaupun tinggal bersebelahan adalah sebahagian daripada tanda terpengaruh dengan tipu daya iblis. Ini kerana perancangan iblis dan tenteranya walau apa pun bentuk dan rupa paras ialah untuk menjauhkan keturunan Adam dari memperoleh rahmat dan reda Allah swt. Bukankah rahmat dan reda Allah itu akan kita capai melalui amalan dan perlakuan yang disukai olehNya. Tidakkah perkara sunat itu adalah peninggalan Nabi kita Muhammad saw manusia pilihan Allah, kekasih dan utusanNya?

Dalam hubungan sesama manusia, kita sentiasa berusaha untuk memberi kegembiraan kepada orang yang kita sayangi. Kita sanggup meredah hutan belantara demi memenuhi hajat rakan taulan dan orang yang kita sayangi. Kesanggupan untuk memenuhi dan menghadiri jemputan kenduri sanak saudara dan rakan taulan walaupun kadang-kadang jaraknya mengharuskan jama’ dan qasar solat bukan semata-mata untuk menikmati jamuan yang disediakan. Nilai sepinggan nasi adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan pengorbanan masa, tenaga dan petrol untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kesanggupan kita untuk memenuhi hajat empunya jemputan sudah pasti akan mengembirakannya. Kalaulah begitu keadaan kita dengan sesama manusia, bagaimana pula dengan pelaksanaan amalan sunat yang diwarisi dari Rasulullah saw. Tidakkah kita pernah membaca firman Allah dalam sebuah hadis kudsi yang mafhumnya : Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Maka apabila Aku telah mencintainya, adalah Aku-lah yang menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya dan ... (Riwayat Imam Bukhari)

Tercetusnya sangkaan buruk terhadap orang lain juga sebahagian daripada tanda terpedayanya kita dengan bisikan iblis. Merasakan diri lebih berbanding orang lain adalah warisan iblis yang tidak sepatutnya bersarang dalam lubuk hati keturunan Adam. Orang yang dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan adalah kelompok manusia yang lebih terdedah kepada tipu daya ini. Pun begitu manusia biasa yang tak punyai kelebihan juga tidak terkecuali dari serangan wabak ini. Kita adalah makhluk yang lemah dan tidak punyai kekuatan hakiki. Apa yang kita miliki adalah anugerah Allah pemilik sekalian alam. Kerana itulah kita disarankan supaya memperbanyakkan sebutan ‘ La haula wala quwwata illa billah’ mafhumnya : Tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (Iradat dan Kudrat) Allah s.w.t. Kelicikan tipu daya dan perancangan musuh yang bernama syaitan serta lemahnya kudrat yang kita miliki menuntut kita agar sentiasa bermuhasabah bagi memastikan perjalanan hidup seharian tidak terpesong dari landasan yang sebenar.

Keikhlasan adalah benteng penyelamat dari terpedaya dengan pujuk rayu syaitan sebagaimana mafhumnya firmanNya dalam surah Assafat ayat 39-40 : Iblis berkata " Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikanmereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semua kecuali hamba-hamba mu yang ikhlas". Sifat ikhlas tidak lahir melalui bicara mulut dan ungkapan lidah yang tidak bertulang. Ianya diperolehi melalui mujahadah yang berterusan tanpa nokhtah dan perhentian tertentu kecuali mati.

Friday, 6 May 2011

Lupakah kita …

Di antara isu yang mendapat liputan meluas sehari dua ini ialah isu kematian Osama Bin Laden. Amerika Syarikat melaporkan serangan tenteranya berjaya membunuh lelaki yang paling dikehendaki dalam operasi mereka di Pakistan. Kematian Osama yang dilabelkan oleh Amerika sebagai ketua pengganas dunia mendapat pelbagai reaksi dari pemimpin-pemimpin dunia termasuk dunia Islam. Ada di antara pemimpin dunia Islam dengan penuh optimis menyatakan keamanan akan kembali mewarnai kehidupan dengan kematian Osama. Benarkah begitu? Kalaulah benar bergembiralah wahai umat Islam di Gaza. Anda sudah boleh tersenyum lebar dan merancang masa depan.

Seorang yang sanggup meninggalkan kemewahan dunia kerana menyertai gerakan jihad mempertahankan maruah diri dan negara umat Islam dari kerakusan kuasa besar kuffar Amerika dan sekutunya dilabelkan sebagai pengganas. Adil kah lantaran penyertaannya dalam gerakan jihad di bumi Afghanistan yang disepakati oleh Ulama Islam sah untuk menghalau penjajahan Rusia ke atas bumi tersebut beliau dilabelkan sebagai pengganas. Keterlibatan beliau dalam gerakan keganasan tidak dapat disahkan oleh sesiapa pun melainkan melalui propaganda Amerika sahaja. Oleh itu sebagai seorang muslim berhati-hatilah kita dalam menerima label yang telah diletakkan oleh Amerika dan sekutu-sekutu mereka.

Bukankah suatu yang aneh dan pelik kepada pemikiran yang waras mengaitkan setiap tindakan buruk dan ganas dengan Islam dan penganutnya sedangkan Islam adalah agama rahmat. Seseorang yang memahami Islam tidak akan melakukan keganasan kerana ia bertentangan dengan pengajaran agama yang mereka anuti ini. Sejarah tidak pernah mencatatkan adanya orang bukan Islam yang dianyai dan dizalimi semasa zaman pemerintahan Islam. Bahkan di mana-mana tempat pun dalam dunia ini orang bukan Islam boleh hidup aman dalam masyarakat yang majoritinya orang Islam. Ini kerana Islam adalah agama yang menyeru kepada persaudaraan dan persahabatan. Kepelbagaian bangsa dan warna kulit adalah untuk manusia saling berkenalan dan bekerjasama untuk kemakmuran hidup. Itulah yang telah diistiharkan oleh Al-Quran kitab suci yang menjadi pegangan dan dasar hidup seorang muslim mukmin.

Kita memerlukan maklumat yang benar yang bukan bersumberkan dari Amerika dan Israel untuk meletakkan hukum sebagai pengganas kepada Osama. Lupakah kita Amerika yang melabelkan orang lain sebagai ganas itulah yang sentiasa mengiyakan setiap perlakuan ganas tanpa peri kemanusiaan Yahudi terhadap Umat Islam di bumi Palestin. Bukan sekadar mengiyakan bahkan menjadi penyumbang kepada segala apa yang dimiliki oleh regim Zionis. Amerika itulah juga yang telah menghancurkan bumi Iraq dan memusnahkan kedamaian kehidupan penduduknya. Amerika itulah yang telah menyeksa dan menafikan nilai kemanusiaan terhadap banduan Islam di penjara-penjara Abu Ghrarib dan Guatanamo. Amerika yang melakukan seribu macam kezaliman kepada dunia dan umat Islam inilah yang melabelkan setiap gerakan yang bertentangan dengan kehendak mereka sebagai pengganas. Berhati-hatilah menerima dan membenarkan maklumat yang penuh dengan racun pembunuh ini kerana kita akan di persoalkan di hadapan Allah di mahkamah Rabbul Jalil kelak.

Penghujung kepada kehidupan seorang manusia adalah kematian. Ia adalah keyakinan yang terpasak dalam lubuk hati kita semua. Kerana itu pilihlah bagaimana kita mahu kematian berlaku ke atas diri kita. Ingat! Kita tidak boleh tersilap dalam membuat pilihan kerana mati hanya sekali dan bila dijemput pulang oleh malikil maut kita tidak akan dikembalikan semula ke dunia yang fana ini. Sesungguhnya kesilapan membuat pilihan mengakibatkan kesengsaraan yang tiada penghujungnya. Pilihlah sama ada mahu mati dalam keadaan mulia dan diredai Allah swt atau sebaliknya. Kemuncak kepada kemuliaan kematian ialah mati sebagai syuhada pada jalan Allah swt. Ganjaran mereka yang memperoleh nikmat syahid ialah syurga tanpa hisab.

Saturday, 30 April 2011

Bertindaklah Atas Dasar Ilmu

Di antara peristiwa yang mendapat liputan akhbar arus perdana dan disiarkan di halaman muka depan media cetak ialah sumpah laknat yang dilakukan oleh *** di Masjid Amru Al-As bagi membuktikan kebenaran tuduhan perlakuan maksiat zina oleh ***. Tindakan seperti ini sepatutnya tidak mendapat liputan yang meluas kerana tiada sedikit pun kebaikan di sisi Allah swt. Dalam keyakinan seseorang muslim nilaian kebaikan di sisinya akan mereka peroleh apabila tindakan yang dilakukan berpunca daripada suluhan keimanan dan pengajaran yang terkandung dalam ajaran Islam.

Dalam Islam setiap kesalahan yang dilakukan oleh manusia ada undang-undang dan ketetapan tersendiri. Islam tidak sekali-kali membenarkan kita mengambil penyelesaiannya untuk membersihkan diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak berpunca daripada pengajarannya. Tindakan mendedahkan keaiban seorang muslim kepada khalayak ramai sangat dibenci oleh Islam. Ia menjadi semakin tercela apabila perkara tersebut berbentuk pendustaan semata-mata. Perbuatan sebegini mungkin termasuk dalam hukum sama ada “ghibah” atau fitnah yang sangat dicela oleh ajaran Islam.

Setiap tindakan yang kita lakukan sebenarnya mempunyai implikasi tersendiri sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain. Lantaran itu Islam menuntut kita untuk memastikan setiap perlakuan adalah bersumberkan kepada suluhan iman dan ilmu pengetahuan. Tujuannya supaya tidak berlaku kemudaratan yang mungkin mengena diri sendiri dan juga orang lain. Penghayatan terhadap falsafah perintah “ Iqra Bismirabbik ” dan kefarduan menuntut ilmu sangat penting untuk kesejahteraan manusia sejagat. Alangkah harmoninya hidup umat ini sekiranya mereka menyedari keperluan memahami falsafah ini dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sudah tentu perjalanan bahtera kehidupan tidak terpesong dari matlamat asal penciptaan mereka.

Islam sangat benci kepada kejahilan kerana ia penyebab hidup manusia terpesong dari ajaran agama yang mengundang seribu macam masalah dalam kehidupan. Kecelaruan yang sedang menimpa umat manusia dan secara khususnya umat Islam adalah berpunca dari tindakan yang tidak bersumberkan kepada suluhan agama. Kalaulah seseorang itu benar-benar mengerti implikasi menuduh seseorang berzina umpamanya tanpa mengemukakan empat orang saksi sudah tentu dia tidak akan sanggup melakukannya walau apa pun alasannya. Pertuduhan tersebut tidak boleh dibuktikan kebenarannya semata-mata melalui sumpah laknat atau “ mubahalah “. Kebenaran akan terbukti dan mempunyai nilai apabila melalui jalan yang telah di gariskan oleh agama Islam yang suci ini. Maka bertindaklah berdasarkan kepada ilmu pengetahuan kerana ia adalah sebahagian daripada perjuangan Rasulullah saw yang telah teruskan oleh pengikut-pengikut baginda sepanjang zaman.

Monday, 25 April 2011

Syammail Muhammadiah Sudahkah Kita Mempelajarinya?

Telah menjadi sebahagian daripada rutin pagi Ahad setiap dua minggu sekali setelah selesai solat subuh di Masjid Al-Falah, saya akan berbicara bersama dengan ibu-ibu dan bapa-bapa yang menjadi sebahagian daripada ahli jemaah tetap, satu dua hadis Rasulullah saw. Biasanya saya akan memetik hadis-hadis ringkas yang berkaitan dengan kehidupan sebagai seorang mukmin muslim untuk dijadikan pedoman dalam mengatur perjalanan hidup seharian. Dalam kuliah terakhir dua minggu yang lalu saya telah menyuarakan kepada mereka cadangan untuk menjadikan bacaan Kitab Syamail Muhammadiah sebagai bahan perbincangan pada kuliah yang akan datang. Alhamdulillah saya mendapat reaksi positif daripada mereka.

Pagi ini merupakan kuliah pertama membaca Kitab Syamail Muhammadiah karangan Imam at-Tirmidzi. Kesempatan selama satu jam telah saya gunakan untuk berbicara dengan para jemaah kepentingan mempelajari Syamail Muhammadiah. Ia bukan semata-mata untuk merasai kagum dengan keindahan peribadi Rasulullah saw tetapi lebih jauh daripada itu. Semakin kita mengenali peribadi Rasulullah saw akan semakin bertambahlah keimanan dan kecintaan kepada baginda saw. Ini kerana mengenali Rasulullah saw adalah sebahagian daripada tuntutan keimanan. Berapa ramai manusia yang pada mulanya memusuhi Rasulullah saw kerana semata-mata mendengar perkhabaran buruk yang sampai kepada telinga mereka berubah pendirian setelah mengenali baginda saw secara dekat.

Sesungguhnya para sahabat adalah kelompok manusia yang sangat mencintai Rasulullah saw. Lantaran kecintaan mereka yang sangat mendalam terhadap Rasulullah saw maka sampailah kepada kita hadis-hadis secara khusus membicarakan tentang sifat batang tubuh dan keperibadian baginda saw. Tujuan adalah supaya terpupuk dalam lubuk hati kita yang datang selepas mereka perasaan kasih dan sayang kepada Rasulullah saw sebagaimana kasih dan sayang mereka kepada Rasulullah saw. Bayangkan bagaimana seorang sahabat yang datang bertanyakan Rasulullah saw tentang bilakah akan berlakunya kiamat dan apabila ditanya apakah bekalan yang telah disediakan untuk menghadapinya. Lantas dengan penuh yakin dia menjawab tiada bekalan yang banyak melainkan perasaan kasih dan sayang kepada Allah dan RasulNya saw. Lantaran itu Rasulullah saw menjawab : Kamu akan dibangkitkan bersama siapa yang kamu kasih.

Faktor tidak mengenali keperibadian Rasulullah saw sebagaimana para sahabat mengenali baginda saw antara penghalang untuk umat Islam meletakkan kecintaan mereka kepada Rasulullah saw melebihi segala-galanya. Hasilnya kesungguhan untuk beramal dengan setiap pedoman yang ditinggalkan baginda saw berada pada tahap yang sangat minimum. Berapa ramaikah yang menjadi jiran kepada masjid dan surau punyai kesanggupan untuk melazimkan diri untuk solat berjemaah di sana. Berapa ramaikah umat Islam yang melintasi rumah-rumah Allah ketika dilaungkan seruan “ marilah menunaikan solat, marilah menuju kejayaan sanggup memberhentikan kenderaan mereka bagi menyahut seruan tersebut. Kita tidak perlu kepada pakar dalam bidang matematik dan perakaunan untuk menghitung bilangannya bukan. Itulah realiti tahap pengorbanan umat di zaman mutakhir.

Kalaulah dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam yang tidak memerlukan pengorbanan yang besar kesanggupannya berada pada tahap yang sangat minimum, bagaimana pula dengan usaha menegakkan syiar yang menuntut pengorbanan darah dan nyawa? Salah satu jalan keluar terhadap kemelut yang sedang menimpa kita sekarang ialah dengan kembali memupuk perasaan cinta dan sayang kepada Rasulullah saw ke dalam jiwa kita melalui pengenalan yang sejati kepada baginda saw sebagaimana para sahabat mengenalinya. Sebagai permulaannya marilah kita nilai tahap pengenalan kita terhadap Rasulullah saw. Lakarkan skala 1-10. Di tahap manakah kita?.