Thursday, 12 November 2009

Penghujung Sebuah Kehidupan

Kemaafaan dipohon kepada pengunjung yang sudi menjenguk blog ini kerana sudah beberapa hari saya tidak mengemaskinikannya. Ada beberapa sebab yang menghalang saya membuat coretan untuk dikongsi bersama. Pada hari sabtu lepas kira-kira jam 12.30 tgh saya dihubungi ibu saudara di kampung memamklumkan bahawa ayahanda saya dalam keadaan tenat. Semasa dalam perjalanan pulang ke Kelantan kira-kira jam 1.15 petang saya bersama isteri dan anak-anak menerima khabar sedih kembalinya ayahanda kerahmatullah. Pada hari Jumaat malam selepas kuliah di Masjid Pengkalan Tambang, saya menghubungi ayahanda bertanyakan khabar. Jawapan yang cukup mengembirakan, alhamdulillah ayah sihat setelah dua hari diuji dengan sedikit keuzuran. Tengahari sabtu segala-galanya sudah berubah. Ayahanda sudah berada diperhentian pertama dunia seterusnya. Semuanya berlaku dengan cepat dan pantas. Itulah ketentuan Allah SWT dan semoga rohnya ditempatkan bersama arwah para solihin, amin.

Dengan kembalinya ayahanda kerahmatullah tinggalah bonda saya di kampung keseorangan menghabiskan sisa-sisa usia yang masih berbaki. Terasa sangat berat untuk berpisah dengan bonda disaat-saat seperti ini, ditambah pula dengan umur yang semakin meningkat dan keadaannya yang semakin uzur, namun tugasan mendesak saya untuk pulang juga ke Pulau Pinang.

Diantara perkara baik yang boleh saya kongsi dengan para pembaca ialah, pada setiap kali menghubungi ayahanda di kampung, soalan pertama beliau “ Tidak ke masjid kah hari ini ? ” Itulah pesanan yang menjadi sebahagian dari motivasi untuk saya melangkah kaki ke rumah Allah. Kepada bapa-bapa dan ibu-ibu, jadikan pesanan supaya membesarkan Allah SWT sebagai ingatan pertama anda kepada anak-anak. Jangan hanya bertanya pasal makan dan minum sahaja kerana urusan perut jarang dilupai oleh manusia. Muda-mudahan pesanan tersebut menjadi sebahagian dari tindakan yang melayakkan kita semua dirahmati Allah ‘azzajawahalla.

Setiap yang bermula pasti ada penghujungnya dan setiap yang bernyawa penghujungnya ialah kematian. Begitulah lumrah perjalanan kehidupan makhluk ciptaan Allah dibumi yang fana’ ini. Tiada yang kekal abadi kecuali Tuhan yang maha kuasa. Namun hakikat yang pasti ditempuhi setiap insan bernyawa ini seakan-akan dilupai. Perilaku dan gelagat seharian menggambarkan kehidupan yang sedang ditempuhi ini seolah-olah tiada penghujung dan nokhtahnya. Hilai-menghilai dah gelak-ketawa menghiasi setiap saat yang dilalui. Seolah-olah tanpanya hidup ini tiada nilainya. Kurangkanlah sedikit hilai tawa yang melalaikan dan tambahkan sedikit keseriusan dalam hidup.

Golongan yang beriman pasti akan memilih untuk mati dalam keadaan yang mulia dan terhormat. Juga mengharapkan husnulkhatimah sebagai habuan terakhir sebelum berpindah ke perhentian pertama alam akhirat. Diantara tandanya ialah mampu menuturkan kalimatutauhid disaat menghadapi sakaratul maut. Persoalannya apakah persiapan yang telah kita sediakan untuk mati dalam keadaan yang sedemikian. Cukupkah dengan angan-angan dan khayalan tanpa amalan dan tindakan. Berapa ramaikah yang mampu mengakhirkan kalamnya dengan kalimah suci ini ? Inilah diantara beberapa persoalan yang mesti kita lontarkan kedalam diri. Mudah-mudahan kealpaan tidak menguasai perjalanan hidup menuju destinasi seterusnya.

Saturday, 7 November 2009

Dimanakah Nilai Masa Dan Wang Ringgit Anda ?

Pertandingan akhir Piala Malaysia edisi ke-43 menjadi berita utama yang dipaparkan di media-media cetak hari ini. Perlawanan kali ini di antara Kelantan dengan Negeri Sembilan. Dikhabarkan 80,000 tiket dengan harga RM 20 untuk dewasa dan RM 5 untuk kanak-kanak telah habis dijual. Bilangan tersebut dikatakan masih tidak mencukupi untuk peminat yang masih lagi menanti untuk mendapatkannya. Saya juga seorang peminat bola sepak dan pernah menjadi salah seorang pemainnya, tetapi tidak pernah menghabiskan sebanyak itu untuk membeli tiket bagi menyaksikan sesuatu perlawanan. Mungkin juga kedekut atau disana ada alasan tersendiri.

Nilai RM 20 bukanlah besar sangat terutama pada zaman inflasi yang saban tahun semakin meningkat. Ianya menjadi nilai yang sangat kecil kalau dalam hal yang seiring dengan nafsu dan selera kita. Sebaliknya nilai RM 1 pun menjadi besar kalau perkara tersebut membabitkan urusan akhirat. Mungkin anda pernah didatangangi seorang yang memohon sumbangan untuk mewakafkan tanah bagi membina masjid, asrama anak-anak yatim dan yang seumpamanya, apa reaksi anda dan rakan-rakan sekeliling. Pelbagai persoalan ditimbulkan dan aneka jenis alasan dicipta untuk tidak menyumbang. Bahkan tidak kurang pula perasaan syak dan sangkaan buruk bermain di benak fikiran kita. Tidak salah berhati-hati supaya apa yang disumbangkan itu sampai ke tempatnya, tetapi janganlah terlalu berkira sangat.

Tulisan ini bukan berniat untuk menghalang anda berhibur dan bergembira. Hiburan perlu untuk menghilangkan kepenatan bekerja tetapi jangan sampai bersifat keterlaluan. Bayangkan nilai RM 20 kalau disumbangkan kepada saudara-saudara kita di Palestin dan tempat-tempat lain. Tidakkah ringan dan terubat sedikit penderitaan mereka ? Bukankah umat Islam itu bersaudara dan menjadi kewajipan kita untuk turut sama merasai penderitaan saudara seislam yang lain. Mungkin inilah di antara sebab kemenangan belum berpihak kepada kita. Hubungan persaudaraan sesama Islam sangat rapuh. Keindahannya seperti yang dibayangkan oleh Rasulullah SAW dan telah dipraktikan oleh salafunassoleh tidak lagi berpijak di bumi nyata. Bukankah ampuhnya ukhuwah itu sebahagian dari kekuatan Islam?

Kalau kita punyai kesanggupan untuk menghabiskan masa berjam-jam dan wang ringgit bukan sekadar puluhan ringgit bahkan kadang-kadang mencecah ribuan untuk perkara sampingan, mengapakah kita tidak pastikan yang seumpamanya juga kita gunakan untuk persiapan menuju akhirat. Bagi seorang pelajar, paling kurang seimbangkan masa belajar dan ulangkaji anda dengan masa untuk aktiviti lain. Dalam merancang aktiviti dan tindakan, kita diajar oleh Islam mengutamakan yang lebih penting daripada yang penting. Sebab itu kefahaman terhadap Fiqh Aulawiyyat (keutamaan) perlu diberi penekanan terhadap generasi muda Islam. Rancangkanlah agar masa dan wang ringgit anda mempunyai nilai.

Friday, 6 November 2009

Terdidikah Nafsu Anda?

Rabu lepas saya dihubungi Cikgu Zaini Pengerusi Masjid al-Falah Pengkalan Tambang bertanyakan adakah saya punyai kelapangan untuk berkhutbah minggu ini. Disebabkan kesibukan dengan bebanan tugas, mesyuarat dan kursus, saya memohon untuk tidak menyampaikan khutbah pada bulan lepas. Giliran saya pada minggu ketiga telah di isi oleh Cikgu Zaini sendiri. Pagi tadi dalam tercari-cari topik yang nak disampaikan hari ini, saya teringat catatan yang saya posting semalam. Antaranya ialah kecacatan pada diri seorang insan bermula apabila perasaan suka dan reda kepada nafsu mula berputik dalam jiwa. Rasanya lebih elok saya teruskan perbicaraan tersebut dalam khutbah hari ini.

Bicara saya tengahari tadi lebih tertumpu kepada kepentingan mengawal hawa nafsu (kecenderungan) bersandarkan kepada Sabda Rasulullah saw :

لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لما جئت به

mafhumnya : Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.

Berdasarkan kepada peringatan Rasul saw dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-‘As r.a, adalah menjadi satu kemestian bagi setiap daripada kita untuk mengawal segala keinginan dan kecenderungan agar sentiasa seiring dengan apa yang ditinggalkan oleh baginda saw. Natijah daripada pertentangan di antara kecenderungan diri seseorang dengan ketetapan syariat ialah lahirnya perbuatan maksiat, perlakuan bidaah dan penentangan kepada kebenaran. Padahnya ialah hilangnya kesempurnaan iman dan bukti benarnya pengakuan keimanan tersebut.

Lahirnya kecintaan dan kesanggupan untuk menerima dan melaksanakan apa yang disampaikan Baginda SAW adalah tanda benarnya benih keimanan dan adanya kemanisan iman didalam hati. Kecintaan bukan semata-mata ungkapan oleh lidah yang tidak bertulang dan juga bukan slogan-slogan kosong tanpa penghayatan. Benarnya ungkapan cinta dan sejatinya perasaan kasih mesti dizahirkan melalui amalan dan tindakan. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 31 :

قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفرلكم ذنوبكم والله غفور رحيم

mafhumnya : Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Tindakan kita ialah memastikan segala amalan dan kerja buat seharian samada yang berbentuk ibadah khusus mahupun ibadah umum adalah bertepatan dengan sunnah dan jauh dari bidaah. Kerana perjuangan inilah Rasulullah SAW dan para sahabat r.a terpaksa mengharungi onak dan duri, menanggung derita penyiksaan dan penentangan dari golongan kufur dan pembidaah. Yakinlah kemenangan untuk Islam semakin hampir apabila perjuangan kita berpaksikan kepada apa yang kita warisi dari Rasulullah SAW.

Thursday, 5 November 2009

Impian Yang Tersasar

Manusia dari segi tabiat penciptaannya dihiasi dengan sifat sukakan kepada perkara yang menyeronokkan. Wanita, pangkat, kekayaan dan kesenangan hidup adalah sebahagian dari perkara yang diimpikan oleh makhluk yang bernama manusia. Lantaran mengejar keseronokkan dunia, manusia lupa bahawa persinggahan yang mereka alami sekarang hanyalah bersifat sementara sahaja. Bayangan keseronakan hidup di dunia mula memperdayakan minda dan asas pertimbangan mereka. Perlumbaan memburu keseronokan ini telah mendorong manusia untuk bertindak mengikut runtunan hawa nafsu jahat dan mengabaikan sifat serta nalori keinsanannya.

Lihat apa yang sedang berlaku di dalam kehidupan seharian
kita. Perhatikan juga telatah yang ditunjukkan oleh masyarakat sekeliling kita. Apa dilakukan seolah-olah untuk kekal hidup didunia yang fana ini. Berbagai makanan tambahan tanpa mengira kos dan harga di ambil untuk kekal sihat. Bermacam-macam skim perniagaan dan pelaburan diceburi dengan tujuan untuk menjadi kaya. Tidak salah untuk hidup sihat dan berharta kerana Islam tidak pernah melarang umatnya dari nikmat tersebut. Bahkan mukmin yang kuat dan tidak meminta-minta lebih dikasihi oleh Allah SWT daripada mukmin yang lemah dan meminta-minta daripada orang lain.

Yang menjadi persoalannya ialah berapa keratkah daripada kita yang menggunakan kesihatan untuk melaksanakan ubudiyyah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar pengabdian. Berapa ramaikah hartawan dan jutawan muslim yang bersifat pemurah. Perhatikan bilangan muslim yang hadir ke masjid, surau dan juga tempat-tempat pengajian. Ruang kosong tanpa penghuni kelihatan begitu ketara sekali walau dimana kita berada samada di bandar mahupun di desa, di kawasan golongan berharta mahupun golongan miskin, di tempat manusia terpelajar ataupun tidak terpelajar. Bagaimana pula dengan golongan armalah (ibu tunggal) dan anak-anak yatim? Adakah terbela sudah hidup mereka atau terus dirundung malang tanpa pembelaan?

Inilah tabiat kehidupan golongan yang terpedaya dengan dunia. Berhati-hatilah dengan kesenangan yang sedang kita nikmati agar tidak dikuasai nafsu material yang melalaikan. Manusia yang cenderung untuk mencari kesempurnaan akan terdorong untuk memperolehi keinsafan.

Wednesday, 4 November 2009

Selesaikah Pertikaian Di Antara Kita Melalui Dada Akhbar ?

Berita berkaitan dengan peristiwa kontroversi yang berlaku di Selangor dua hari lepas masih belum padam dari dada-dada akhbar tempatan. Pihak yang terlibat berusaha menegakkan pendapat dan pendirian masing-masing. Apakah dengan tindakan demikian akan selesailah pertikaian yang sedang berlaku sekarang? Kita nampaknya sudah jauh terpesong dari landasan dan petunjuk yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Dimanakah ruh ukhuwah dan persaudaraan Islam yang sering kita canang dan warwarkan dalam ceramah dan kuliah-kuliah? Sudah tiadakah ruang untuk bermuzakarah secara berhemaah, jauh dari sifat benci dan buruk sangka?

Tindakan menjadikan akhbar sebagai tempat menegakkan pendirian masing-masing tidak akan membuahkan apa-apa kecuali perbalahan dan perpecahan. Hubungan persaudaraan menjadi semakin renggang dan sifat benci membenci semakin menebal dalam diri. Lupakah kita tiada siapa yang untung dalam hal ini kecuali musuh-musuh. Mereka tersenyum lebar melihat gelagat dan telatah pendokong ajaran Islam yang suci bertelagah sesama sendiri. Sampai bilakah kita akan terus ditertawakan oleh mereka angkara keegoan diri sendiri. Rawatilah dengan sifat tasamuh dan ukhuwah Islamiah. Moga kita semua dirahmati Allah SWT.

Kecacatan pada diri seorang insan bermula apabila perasaan suka dan reda kepada nafsu mula berputik dalam jiwa. Nilai ilmu tidak lagi lagi berfaedah dan mampu mengemudi bahtera kehidupan. Maka muncullah pelbagai bentuk perasaan dan sifat keji yang mencacatkan kejernihan jiwa. Natijahnya, hubungan sesama insan muslim khususnya berlaku dalam bentuk yang tidak murni lagi. Perasaan takbur, ujub dan ghurur mempengaruhi tindakan kerana beranggapan diri sudah sempurna dan sementara orang lain pula memiliki segala kekurangan. Sikap sedemikian tidak membuahkan selaian daripada kehancuran dan kebinasaan. Marilah kembali kemeja muzakarah dengan penuh tatasusila, Insyaallah kejernihan akan kembali mewarnai hubungan sesama kita.

Tuesday, 3 November 2009

Tabiat Kehidupan 1

Berita penahanan Dr. Mohd Asri masih lagi menjadi berita utama paparan akhbar-akhbar utama hari ini. Berbagai-bagai pihak memberi komen dan pendapat tentang peristiwa tersebut. Alasan yang diberikan oleh pihak yang berkenaan ialah kuliah yang disampaikan tanpa tauliah. Itulah sebahagian daripada tabiat kehidupan zaman moden ini. Segala-galanya memerlukan kepada kelulusan dan kebenaran dari pihak-pihak tertentu. Alasannya mudah sahaja, untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan awam. Kalaulah mengambil nyawa manusia perlukan kepada kebenaran sudah tentu malikil maut pun perlu meminta kebenaran dari pihak .....

Tanpa menafikan perlunya tauliah untuk menyampaikan pengajaran agama demi memastikan penyampainya memang benar-benar mempunyai kelayakan, sikap bertolak ansur dan mengabaikan peraturan perlu juga diterapkan dalam minda para penguatkuasa. Ini kerana peraturan dan undang-undang ciptaan manusia tidak mutlak. Mengabaikannya kadang-kadang lebih baik daripada melaksanakan. Manusia bukannya robot yang berfungsi mengikut apa yang telah diprogramkan. Rasional dan kewarasan adalah kelebihan yang tidak dikurniakan kepada makhluk selain daripada manusia. Apa yang ganjilnya manusia kadang kala bertindak seperti robot dan mengabaikan rasional.

Dalam hal menyampaikan pengajaran agama, kandungan kuliah sepatutnya menjadi fokus dan penilaian bukannya tauliah. Apa gunanya tauliah kalaulah isi kandungan kuliah terpesong jauh daripada landasan kebenaran. Perkara benar mesti disampaikan walaupun manusia membencinya. Neraca pengukurannya bukan berdasarkan kepada selera dan keinginan manusia serta pihak berkuasa. Al-Quran dan hadis serta amalan para sahabat yang mendapat didikan langsung dari kekasih Allah mesti dijadikan panduan dalam membuat penilaian benar atau salah. Apa yang sedang berlaku di zaman mutakhir ini adalah sebaliknya. Selera dan keinginan manusia adalah neraca timbangan mereka. Inilah natijah sebuah kehidupan hidup yang mementingkan kebendaan daripada reda Yang Maha Kuasa.

Monday, 2 November 2009

Ikhlaskah kita ?



Ikhlas adalah ungkapan yang sangat mudah meniti dibibir tetapi amat sukar untuk merealisasikannya. Ianya menjadi lebih susah dan semakin mencabar terutama pada zaman yang menjadikan material sebagai buruan hidup. Kita didesak dan dihambat oleh keinginan nafsu yang tidak pernah cukup dan berpada dengan apa yang sudah diperolehi. Kita dipaksa dengan berbagai alasan untuk mencanang dan mewarwarkan kepada manusia kerja-kerja yang telah kita lakukan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, supaya mereka menilai amalan tersebut dan kita tidak mengharapkan selaian puji-pujian. Jarang kita ketemui manusia yang menyenaraikan kerja buat mereka supaya dikeji oleh manusia lain. Itulah tabiat diri manusia yang sentiasa sukakan kepada perkara yang menyeronokkan. Bukankah pujian dan sanjungan itu sesuatu yang menyeronokkan!

Pesaing kepada ikhlas ialah riya’. Perlumbaan untuk mengisi lubuk hati manusia di antara kedua-duanya itu sangat klasik. Pertarungan diantara iman dengan kufur, patuh dengan derhaka, petunjuk dengan kesesatan adalah pertarungan yang telah bermula semenjak perintah sujud hormat kepada Adam a.s lagi. Jarak antara riaya’ dan ikhlas sangat nipis bahkan lebih nipis daripada kulit bawang. Dalam kita sedang berbicara tentangnya pun, unsur-unsur riya’ cuba menggoda hati ini dengan berbagai nama dan gelaran. Kerana itulah sangat sukar untuk kita menilai keikhlasan seseorang melalui pandangan zahir dan tindakan luaran. Beruntunglah sesiapa yang dapat mengekalkan keikhlasan di dalam jiwa dan lubuk hatinya.

Orang yang ikhlas tidak mengharapkan ucapan terima kasih, bukan mencari populariti dan bukan juga menanti sekalung penghargan. Hatinya bulat mencari keredaan Allah SWT walupun manusia membencinya. Baginya, reda Rabul Jalil kemuncak kepada setiap tindakan dan amalan hidup. Oleh itu memelihara hati agar sentiasa komited dan terus berada diatas jalur keikhlasan mestilah dijadikan agenda hidup. Berhatil-hatilah ketika mengisi borang penilaian prestasi dan sasaran kerja tahunan agar keikhlasan dan pengorbanan tidak dirobek oleh sifat riya’. Ingatlah musuh sentiasa mengintai kealpaan kita untuk menerkam dan membinasakan kemurnian hati dan sanubari kita. Pastikan kejernihan amalan tidak tercalar kerana kegelojohan mengejar habuan dunia yang bersifat sementara.