Friday 25 December 2009

Kenapa Tidak Cemerlang Walaupun Membaca!

Agak lama juga blog ini berehat, sudah lebih sebulan saya tidak mengemaskinikannya. Balik kampung menziarahi sanak saudara dan suasana hujan di pantai Timur menyebabkan mood untuk menulis berkurangan. Alhamdulillah hari ini saya diberi kekuatan olehNYA untuk meneruskan kesinambungan tulisan-tulisan yang lalu. Mudah-mudahan ada manfaat yang dapat dikongsi bersama.

Hari ini keputusan PMR diumumkan. Alhamdulillah anak-anak didik saya memperolehi keputusan yang agak cemerlang juga. Pengorbanan masa dan tenaga yang dicurahkan untuk mengajar bahasa Arab nampaknya berbaloi. Keputusan lulus 100% dengan lebih dari 60% mendapat A adalah satu pencapaian yang agak cemerlang. Namun apa yang pernah saya capai bersama pelajar PMR 2005 lebih manis apabila hampir 70% daripada mereka mendapat A tanpa seorang pun yang mendapat D . Apa pun, alhamdulillah syukur diatas anugerahNya yang tidak pernah berkurang walaupun kita lupa untuk memohonnya.

Tahniah diucapkan kepada anak-anak didik semua. Semoga kejayaan hari ini menjadi pemangkin untuk kalian terus berusaha memburu kejayaan dan kecemerlangan dalam kesempatan hidup dunia demi kecemerlangan hakiki di akhirat kelak. Untuk menjadi umat yang cemerlang gabungan ilmu, iman dan amal tidak dapat dipisahkan. Islam adalah agama yang sangat mengambil berat kepada nilai ilmu. Buktinya wahyu pertama diturunkan mengandungi perintah supaya membaca. Perintah membaca yang disandarkan kepada Allah swt seperti mafhum firmanNya ayat pertama surah al-‘alaq : “ Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan”, menjadi titik perbezaan cara pembacaan umat Islam dengan umat yang lain. Inilah amalan yang menjadi tradisi umat Islam silam sehingga menjadikan mereka umat yang menjadi rujukan dalam semua disiplin ilmu. Hasil kajian dan tulisan mereka masih releven dan terus menjadi sumber rujukan kajian-kajian moden. Rahsianya, bukan kerana nilai kajian dan tulisan yang mereka hasilkan semata-mata tetapi adanya keberkatan anugerah daripada allah swt. Keyakinan kepada keberkataan hanyalah ada dalam kamus mereka yang beriman kepada Allah swt.

Bagaimana dengan pembacaan dan kajian yang kita lakukan hari ini? Adakah tradisi ini termasuk dalam perkiraan kita? Kalau ya, alhamdulillah dan kalau tidak rugilah masa dan tenaga yang telah kita curahkan kerana hilang keberkatan dunia dan akhirat.